Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ketua Polis Jepun letak jawatan susuli siasatan kematian mendiang Abe

Anggaran Waktu Membaca:
Ketua Polis Jepun letak jawatan susuli siasatan kematian mendiang Abe

(Gambar Fail: AFP/Philip Fong)

TOKYO: Ketua Agensi Polis Negara Jepun mengumumkan peletakan jawatannya pada Khamis (25 Ogos) menyusuli siasatan berhubung keselamatan bagi mantan perdana menteri Shinzo Abe, yang ditembak bulan lalu.

"Kami telah memutuskan untuk merombak kakitangan kami dan memulakan lembaran baru dengan tugas keselamatan kami, dan disebabkan itu saya menyerahkan peletakan jawatan kepada Suruhanjaya Keselamatan Awam Nasional hari ini (25 Ogos)," kata Encik Itaru Nakamura kepada wartawan.

Beliau membuat pengumuman tersebut di satu sidang media yang mendedahkan secara terperinci dapatan siasatan mengenai kelemahan dalam bagaimana mantan perdana menteri itu diberi perlindungan.

"Sedang kami meneliti dan bermuhasabah berhubung kejadian itu, kami memutuskan untuk memulakan semula dan merombak sistem keselamatan kami," tambah Encik Nakamura lagi.

Encik Abe ditembak dan dibunuh semasa berkempen pilihan raya pada 8 Julai di bandar Nara.

Pembunuh yang disyaki ditangkap dan dipercayai menyasarkan Encik Abe kerana menganggap Encik Abe mempunyai kaitan dengan Gereja Penyatuan.

Encik Abe merupakan ahli politik yang dikenali di Jepun dan perdana menteri yang paling lama berkhidmat, namun tahap keselamatan bagi Encik Abe agak ringan sedang beliau menyampaikan ucapannya di bandar barat Nara.

Para pengawal peribadi mungkin dapat menyelamatkan Encik Abe dengan melindunginya atau menariknya daripada garisan tembakan dalam 2.5 saat di antara tembakan pertama yang tersasar dengan yang kedua, iaitu tembakan yang membawa maut, menurut lapan pakar keselamatan yang meneliti semula rakaman tersebut, menurut laporan Reuters.

Polis di kawasan itu sudahpun mengakui kelemahan "yang tidak dapat dinafikan" dalam tahap kawalan keselamatan bagi mantan pemimpin berkenaan. Ia juga diakui pegawai rasmi Jepun, termasuk Perdana Menteri Fumio Kishida.

Agensi Polis Negara memberitahu Reuters sebelum ini bahawa pembunuhan tersebut disebabkan kegagalan polis menjalankan tanggungjawab sambil menambah bahawa sebuah pasukan sudahpun ditubuhkan untuk meninjau langkah keselamatan dan perlindungan serta merangka langkah pencegahan.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan