Ketua polis Indonesia digantung kerja selepas pengawal peribadi ditemui mati dengan beberapa luka tembakan
Polis Republik Indonesia menggantung kerja seorang jeneral dua bintang selepas pengawal peribadinya mati ditembak dalam keadaan mencurigakan di rumah ketua tersebut.

Ketua Polis Indonesia Listyo Sigit Prabowo. (Gambar: Polis Negara Indonesia)
Ketua Polis Negara Listyo Sigit Prabowo pada Isnin (18 Jul) berkata Ketua Inspektor Ferdy Sambo sudah digantung jawatannya sebagai ketua ehwal dalaman sedang pihak berkuasa menyiasat pembunuhan Nopryansyah Yosua Hutabarat yang berusia 27 tahun.
"Keputusan itu diambil untuk memastikan apa yang kami lakukan kekal objektif, telus dan bertanggungjawab supaya proses siasatan sekarang boleh berjalan dengan lancar dan memberi penjelasan mengenai insiden berkenaan," kata Encik Prabowo kepada wartawan di ibu pejabat Polis Negara di Jakarta.
"Proses itu sedang dijalankan. Para saksi sedang diperiksa. Bukti sedang dikumpul. Kami komited untuk memastikan seluruh proses ini menepati piawai saintifik."
Encik Hutabarat, seorang sarjan polis yang diarah melindungi keluarga Encik Sambo, dibunuh pada 8 Jul dengan badannya mempunyai beberapa luka peluru.
Polis menyatakan Encik Hutabarat dibunuh oleh seorang lagi pegawai polis dalam satu kejadian tembakan di rumah Encik Sambo.
Menurut polis lagi Encik Hutabarat cuba menyerang isteri Encik Sambo secara seksual dan pegawai kedua itu sedang cuba untuk melindunginya.
Polis tidak mendedahkan insiden tersebut sehingga 11 Jul. Mereka juga menyembunyikan identiti individu yang menembak Encik Hutabarat dan mengenalpastinya sebagai "E".
Beberapa kamera pengawasan yang mungkin telah merakam insiden tersebut, rosak, menurut polis pada 12 Jul.
Dalam pada itu, media Indonesia melaporkan tiada seorang pun jiran Encik Sambo yang terdengar bunyi tembakan atau melihat ambulans tiba di tempat kejadian.
Media tempatan menukil peguam bagi keluarga Encik Hubarat sebagai berkata terdapat tujuh luka tembakan di badan pegawai polis itu.
Bahu dan dagu Encik Hutabarat juga terkehel, tambah mereka selain beberapa kesan kelar dan luka di badannya.
Keadaan sekitar kematian Encik Hutabarat menimbulkan spekulasi bahawa pegawai polis itu menjalin hubungan sulit dengan isteri Encik Sambo dan diseksa serta dibunuh.
Polis Jakarta Selatan enggan mengulas dakwaan tersebut minggu lalu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.