Skip to main content

Dunia

Ketua Pentagon sokong Trump berhubung tahap kejayaan serangan ke atas Iran

Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Pete Hegseth, menegaskan pada Khamis (26 Jun) bahawa serangan Amerika Syarikat ke atas tapak nuklear Iran merupakan satu kejayaan, menyokong Presiden Donald Trump dan menyelar media kerana mempersoalkan hasil operasi tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Ketua Pentagon sokong Trump berhubung tahap kejayaan serangan ke atas Iran

Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Pete Hegseth, berucap semasa sidang media di Pentagon, Washington, pada 26 Jun 2025. (Gambar: AP/Kevin Wolf)

WASHINGTON: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Pete Hegseth, menegaskan pada Khamis (26 Jun) bahawa serangan Amerika Syarikat ke atas tapak nuklear Iran merupakan satu kejayaan, menyokong Presiden Donald Trump dan menyelar media kerana mempersoalkan hasil operasi tersebut.

Pesawat pengebom B-2 Amerika menyerang dua tapak nuklear Iran dengan bom pemusnah kubu GBU-57 yang besar hujung minggu lalu, manakala sebuah kapal selam peluru berpandu menyerang tapak ketiga dengan menggunakan peluru berpandu Tomahawk.

“Presiden Trump mewujudkan keadaan untuk menamatkan perang, memusnahkan – pilih istilah anda – menghapuskan, menghancurkan keupayaan nuklear Iran,” kata Encik Hegseth kepada wartawan di Pentagon, merujuk kepada konflik 12 hari antara Israel dan Iran.

Encik Trump menyifatkan serangan itu sebagai “kejayaan ketenteraan yang mengagumkan” dan berulang kali berkata bahawa ia sudah “memusnahkan” tapak-tapak nuklear tersebut.

Pada Khamis, beliau bertegas bahawa Iran tidak sempat mengalihkan bahan nuklear – termasuk uranium yang diperkaya – sebelum operasi ketenteraan Amerika Syarikat.

“Tiada apa yang dibawa keluar dari kemudahan tersebut. Ia akan mengambil masa terlalu lama, terlalu berbahaya, dan sangat berat serta sukar untuk dipindahkan!” kata Encik Trump dalam satu catatan di platform Truth Social miliknya.

Perkara yang sama turut dikongsikan oleh Encik Hegseth.

“Saya tidak mengetahui tentang sebarang risikan yang telah saya semak, yang menyatakan bahawa bahan-bahan tersebut tidak berada di tempat asal, dialihkan atau sebaliknya,” katanya.

Bagaimanapun, media Amerika Syarikat mendedahkan penilaian awal risikan Amerika awal minggu ini yang menyatakan bahawa serangan itu hanya melengahkan program nuklear Iran selama beberapa bulan – liputan yang dikritik hebat oleh Encik Hegseth.

Dokumen itu “dibocorkan kerana seseorang mempunyai agenda untuk mengelirukan keadaan dan menjadikan serangan bersejarah ini kelihatan tidak berjaya,” kata Encik Hegseth.

Encik Trump juga kecam liputan laporan risikan tersebut, di samping menggesa agar wartawan yang terlibat dibuang pekerjaan.

Encik Hegseth tidak berkata secara pasti bahawa uranium yang diperkaya dan pemusing sentrifugal yang menjadi teras program nuklear kontroversi Iran sudah dimusnahkan sepenuhnya, namun merujuk kepada pegawai risikan – walaupun tanpa perincian – yang menyatakan bahawa kemudahan nuklear itu sudah dimusnahkan.

“Jika anda mahu tahu apa yang berlaku di Fordow, lebih baik anda ke sana dan bawa cangkul yang besar, sebab tiada siapa di bawah sana sekarang,” kata Encik Hegseth, merujuk kepada tapak nuklear bawah tanah itu.

Selepas serangan itu, beberapa pakar turut memberi amaran bahawa Iran kemungkinan sudah mengalihkan stok uranium diperkaya tinggi dan hampir ke tahap senjata itu dari Fordow sebelum serangan pada awal pagi Ahad.

Ia juga dikatakan mungkin menyembunyikan bahan tersebut serta komponen nuklear lain di lokasi yang tidak diketahui Israel, Amerika Syarikat dan pemantau nuklear PBB.

Ia turut merujuk kepada gambar satelit dari Maxar Technologies yang menunjukkan “aktiviti luar biasa” di Fordow pada Khamis dan Jumaat, termasuk barisan panjang kenderaan yang menunggu di luar pintu masuk kemudahan tersebut.

Sumber kanan Iran memberitahu Reuters pada Ahad bahawa sebahagian besar uranium diperkaya pada tahap 60 peratus – hampir ke tahap senjata – sudah dipindahkan ke lokasi rahsia sebelum serangan Amerika Syarikat.

Israel melancarkan kempen udara luar biasa yang menyasarkan tapak nuklear Iran, saintis dan pegawai kanan tenteranya pada 13 Jun dalam usaha untuk menamatkan program nuklear Iran, yang menurut Tehran, adalah untuk tujuan awam tetapi Washington dan kuasa-kuasa lain mendakwa adalah untuk membina senjata nuklear.

Encik Trump menghabiskan beberapa minggu untuk mencari jalan diplomatik bagi menggantikan perjanjian nuklear dengan Tehran yang dibatalkannya semasa penggal pertamanya pada 2018, tetapi akhirnya membuat keputusan untuk mengambil tindakan ketenteraan.

Operasi Amerika Syarikat itu berskala besar, melibatkan lebih 25 pesawat termasuk jet pejuang serta kapal selam peluru berpandu.
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita