Skip to main content

Dunia

Ketua Pentagon lakukan lawatan ke Vietnam di tengah rundingan bekalan senjata

Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Pete Hegseth dijadual bertemu dengan pegawai kanan Vietnam pada Ahad (2 Nov) semasa lawatannya ke Hanoi, di tengah-tengah rundingan berpanjangan berhubung potensi Amerika Syarikat membekalkan peralatan ketenteraan kepada bekas musuhnya itu, termasuk pesawat pengangkut dan helikopter.
Anggaran Waktu Membaca:
Ketua Pentagon lakukan lawatan ke Vietnam di tengah rundingan bekalan senjata
Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Pete Hegseth menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN di Kuala Lumpur, Malaysia, pada 1 November 2025. (Gambar: REUTERS/Hasnoor Hussain)
HANOI: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Pete Hegseth dijadual bertemu dengan pegawai kanan Vietnam pada Ahad (2 Nov) semasa lawatannya ke Hanoi, di tengah-tengah rundingan berpanjangan berhubung potensi Amerika Syarikat membekalkan peralatan ketenteraan kepada bekas musuhnya itu, termasuk pesawat pengangkut dan helikopter.

Menurut seorang pegawai Vietnam yang dimaklumkan mengenai lawatan tersebut, Encik Hegseth dijangka tiba di ibu negara Vietnam pada awal petang Ahad selepas mengadakan beberapa siri mesyuarat dengan rakan sejawatannya di Malaysia.

Pegawai itu berkata Encik Hegseth dijangka bertemu dengan Ketua Parti Komunis Vietnam To Lam, Presiden Luong Cuong dan Menteri Pertahanan Phan Van Giang.

Rundingan mengenai pembekalan senjata Amerika Syarikat dijangka menjadi agenda utama, menurut pegawai berkenaan dan seorang lagi sumber Vietnam yang turut berpengetahuan tentang perkara tersebut.

Kedua-duanya menukil pesawat pengangkut tentera Lockheed Martin C-130 Hercules sebagai antara topik yang akan dibincangkan.

Seorang pegawai Amerika Syarikat turut mengesahkan bahawa pesawat C-130 akan dibangkitkan dalam rundingan tersebut.

Salah satu sumber Vietnam berkata pembekalan helikopter Amerika Syarikat juga mungkin dibincangkan, khususnya model Lockheed Martin S-92 dan Boeing Chinook.

Ketiga-tiga sumber berkenaan enggan dikenal pasti kerana maklumat itu masih belum dimaklumkan kepada umum.

Mereka juga berkata tidak jelas sama ada sebarang perjanjian atau pengumuman akan dibuat pada Ahad.

Boeing merujuk sebarang pertanyaan kepada pemerintah Vietnam dan Amerika Syarikat, manakala pemerintah Vietnam, Pentagon dan Lockheed Martin tidak memberi sebarang komen di luar waktu pejabat.

PESAWAT DAN HELIKOPTER MENJADI TOPIK PERBINCANGAN

Negara Asia Tenggara itu, yang sangat bergantung kepada senjata buatan Rusia, sudah berusaha selama bertahun-tahun untuk mempelbagaikan peralatan pertahanannya.

Rundingan dengan Amerika Syarikat, yang menamatkan embargo senjatanya pada 2016, menjadi semakin rancak semasa pentadbiran Encik Biden, namun masih belum menghasilkan sebarang pengumuman rasmi.

Reuters pada tahun lalu melaporkan perbincangan mengenai penjualan pesawat C-130 kepada Kementerian Pertahanan Vietnam, dan pada Julai lalu mengenai perjanjian awal melibatkan dua helikopter S-92 menyusuli rundingan selama bertahun-tahun dengan pasukan keselamatan awam Vietnam.

Pembelian dua atau tiga helikopter Chinook yang mungkin dilaksanakan oleh pasukan polis Vietnam juga sedang dibincangkan, menurut salah satu sumber yang dimaklumkan tentang perkara itu.

Pada Disember lalu, satu akhbar di bawah kawalan polis melaporkan bahawa sebuah lapangan terbang baharu yang sedang dibangunkan berhampiran Hanoi sesuai untuk digunakan bagi helikopter Chinook CH-47D dan model-model lain.

Helikopter Chinook merupakan satu-satunya pesawat yang disebut dalam laporan itu yang masih belum digunakan oleh pasukan keselamatan Vietnam.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita