Ketua Pentagon ikrar komitmen 'padu' AS kepada Israel
Menteri Pertahanan Israel sifatkan Amerika Syarikat sebagai 'kawan sejati Israel' terhadap pelbagai ancaman termasuk Iran.
Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Lloyd Austin (Gambar: AFP/Money Sharma)
TEL AVIV: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Lloyd Austin pada Ahad (11 Apr) mengisytiharkan komitmen Amerika Syarikat yang "teguh dan berterusan" kepada Israel, sekali gus mengukuhkan sokongan kepada Israel di tengah-tengah tanda tanya terhadap usaha pentadbiran Presiden Joe Biden untuk menyambung semula rundingan nuklear dengan seteru Israel, Iran.
Rundingan pertama Encik Austin di Israel sejak dilantik sebagai ketua Pentagon pada Januari diadakan sedang Amerika Syarikat cuba memanfaatkan kemajuan diplomatik Timur Tengah yang diraih oleh pentadbiran bekas presiden Donald Trump, yang berhasil memeterai perjanjian bagi memulihkan hubungan antara Israel dengan beberapa negara Arab.
Secara kebetulan atau tidak, Setiausaha Pertahanan itu tiba di Israel ketika Iran melaporkan bahawa kemudahan nuklear bawah tanah Natanz hilang bekalan tenaga beberapa jam selepas memulakan sentrifugal baru yang berupaya memperkayakan uranium dengan lebih pantas.
Sekiranya Israel menyebabkan gangguan pada bekalan tenaga itu, ia akan meningkatkan ketegangan antara kedua-dua negara tersebut, yang sudahpun terlibat dalam konflik lebih luas di Timur Tengah. Iran menyifatkan kejadian itu sebagai satu "pengganasan nuklear", tetapi tidak menuding jari ke arah pihak tertentu.
Setelah mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertahanan Benny Gantz di Tel Aviv, Encik Austin menegaskan "komitmen Amerika untuk terus menyokong Israel". Encik Austin bagaimanapun tidak menyebut Iran.
Encik Gantz, dalam kenyataannya sendiri, ketika berdiri di sebelah Encik Austin, berkata Israel menyifatkan Amerika Syarikat sebagai "kawan sejati Israel" terhadap pelbagai ancaman dan bukan setakat Iran saja. Kedua-dua pegawai bagaimanapun enggan menjawab sebarang pertanyaan daripada para wartawan.
"Tehran hari ini menimbulkan ancaman strategik terhadap keamanan antarabangsa, seluruh Timur Tengah dan juga Israel," kata Encik Gantz dalam ucapannya.
"Kami akan bekerja rapat dengan sekutu kami, Amerika Syarikat untuk memastikan agar setiap perjanjian baru dengan Iran akan menjaga kepentingan dunia dan Amerika Syarikat, mencegah perlumbaan senjata berbahaya di rantau ini dan melindungi Israel."
Yoel Guzansky, felo kanan Institut Pengajian Keselamatan Nasional, sebuah badan pemikir Tel Aviv, berkata bahawa lawatan Encik Austin dianggap penting kerana ia adalah lawatan pertama oleh seorang anggota Kabinet Presiden Joe Biden.
"Mereka ingin menunjukkan bahawa mereka datang ke sini dengan tangan yang bersih dan mereka ingin mendengar," kata Encik Guzansky. "Mereka ingin mendengar kebimbangan Israel dan kekhuatiran rakan-rakan lain mengenai rundingan tentang Iran."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.