Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ketua Pengarah WHO, PM China bincang siasatan asal usul COVID-19

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri China Li Keqiang di Beijing pada Sabtu (5 Feb) bagi membincangkan isu pandemik COVID-19.
 

Anggaran Waktu Membaca:

ANKARA: Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri China Li Keqiang di Beijing pada Sabtu (5 Feb) bagi membincangkan isu pandemik COVID-19.

Dr Tedros menerusi ciapan di Twitter memaklumkan pertemuannya dengan Encik Li adalah bagi membincangkan siasatan mengenai asal usul virus berkenaan.

"Kami membincangkan isu COVID-19 dan keperluan memperkasakan usaha memberi vaksin kepada 70 peratus penduduk dunia. Perpaduan adalah kunci memastikan akses serta kemampuan kepada vaksin.

"Kami turut berbincang keperluan kerjasama lebih erat mengenai asal usul virus COVID-19, berdasarkan sains dan fakta.

"Saya menyambut baik sokongannya (Encik Li) bagi memperkasakan WHO serta perbincangan mengenai kesediaan global melalui #PandemicAccord (Perjanjian Pandemik)," katanya.

Beliau sekali lagi mengulangi pendiriannya bahawa ketidaksamaan agihan vaksin menjadi halangan terbesar dalam usaha menamatkan pandemik itu.

Asal usul virus yang meragut hampir enam juta nyawa di seluruh dunia kekal sebagai satu misteri sehingga kini.

Biarpun terdapat teori mendakwa virus itu dihasilkan dalam makmal di Wuhan, China, lokasi pertama penyebaran wabak itu, tiada sebarang bukti saintifik bagi menyokong dakwaan berkenaan.

Malah China turut menafikan dakwaan tersebut. Dalam pada itu, menurut laporan agensi berita Xinhua, Encik Li yang menyambut kehadiran Dr Tedros semasa acara perasmian Sukan Olimpik Musim Sejuk, memaklumkan China akan terus menyokong WHO dalam usaha memerangi pandemik itu.

Perdana Menteri China itu menegaskan solidariti, kerjasama dan kesefahaman antara masyarakat dunia penting dalam menghentikan pandemik berkenaan.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan