Skip to main content

Dunia

Ketua Pengarah, CEO Berita BBC letak jawatan atas tuduhan kelirukan penonton berhubung dokumentari Trump

Pengarah besar dan Ketua Berita BBC Tim Davie meletak jawatan pada Ahad (9 Nov) menyusuli kritikan berhubung dakwaan berat sebelah di syarikat penyiar Britain itu, termasuk dalam cara ia menyunting ucapan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
Anggaran Waktu Membaca:
Ketua Pengarah, CEO Berita BBC letak jawatan atas tuduhan kelirukan penonton berhubung dokumentari Trump
Gambar Ketua Pengarah BBC, Tim Davie, dilihat melalui pintu kaca di ibu pejabat BBC di London, Britain, pada 13 Mac 2023. (Gambar fail: REUTERS/Henry Nicholls)
Diterbitkan : 10 Nov 2025 07:33AM Dikemas Kini : 10 Nov 2025 08:02AM
LONDON: Pengarah besar dan Ketua Berita BBC Tim Davie meletak jawatan pada Ahad (9 Nov) menyusuli kritikan berhubung dakwaan berat sebelah di syarikat penyiar Britain itu, termasuk dalam cara ia menyunting ucapan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

BBC berdepan tekanan yang meningkat selepas satu laporan dalaman oleh bekas penasihat piawaian dibocorkan kepada akhbar Daily Telegraph yang menukil kelemahan dalam liputannya mengenai perang Israel-Hamas, isu LGBT dan ucapan oleh Encik Trump.

Trump menyambut baik peletakan jawatan itu sambil mengecam kedua-duanya sebagai "individu sangat tidak jujur" selepas program perdana BBC, 'Panorama', menggabungkan dua bahagian daripada ucapannya supaya ia kelihatan seolah-olah Encik Trump mendorong rusuhan di Capitol Hill pada Januari 2021.

Tim Davie, yang memimpin British Broadcasting Corporation (BBC) sejak 2020, berkata beliau memutuskan untuk berundur selepas "memikirkan tentang tuntutan peribadi dan profesional yang sangat sengit untuk menguruskan peranan itu selama bertahun-tahun di tengah-tengah waktu yang rapuh".

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) BBC News Deborah Turness juga meletak jawatan.

DIHORMATI DI LUAR NEGARA, DIPERSOAL MENGENAI PENILAIAN BERITA

Dihormati di seluruh dunia, BBC sejak beberapa tahun kebelakangan ini dituduh gagal mengekalkan komitmen untuk tidak menyampaikan berita yang berat sebelah, berdepan cabaran melalui sekitaran politik dan sosial yang sangat berpecah belah.

Laporan dalaman yang dibocorkan itu menyatakan BBC Arab menonjolkan sikap berat sebelah anti-Israel dalam liputannya mengenai perang di Gaza dan usaha untuk memberi liputan mengenai sekumpulan individu yang menjalankan kempen bagi memperjuangkan ruang untuk satu jantina pula disekat oleh beberapa kakitangan yang menganggap ia mengganggu masyarakat LGBT.

Perbadanan itu, yang dibiayai oleh yuran lesen yang dibayar oleh semua isi rumah yang menonton saluran itu, berada di bawah pengawasan ketat oleh sesetengah akhbar kebangsaan dan pengkritik di media sosial, yang menolak model pembiayaannya dan sikap liberalnya.

Dalam siaran dokumentari Panorama pada tahun lalu, Encik Trump dipaparkan bercakap kepada para penyokongnya bahawa "kita akan berjalan ke Capitol" dan "kami akan menyerang mati-matian", iaitu satu komen yang beliau sebenarnya katakan dalam satu lagi ucapan berasingan.

Beliau sebenarnya memberitahu para penyokongnya bahawa "mereka akan menyorak bagi memberi sokongan kepada para senator dan ahli kongres yang berani".
Sumber : Reuters/HA/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita