Skip to main content

Dunia

Ketua Penerangan parti Bersatu di M'sia mengaku tidak bersalah minta, terima rasuah RM6.9 juta

Anggaran Waktu Membaca:
Ketua Penerangan parti Bersatu di M'sia mengaku tidak bersalah minta, terima rasuah RM6.9 juta

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 21 Feb 2023 12:30PM

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada Selasa (21 Feb) atas dua tuduhan meminta dan menerima rasuah RM6.9 juta (S$2.1 juta) berhubung projek Jana Wibawa.

Dua tuduhan ke atas Wan Saiful, 48 tahun, yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Bagi tuduhan pertama, dia didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuknya membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek ‘Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur’ daripada kerajaan Malaysia secara prakelayakan yang jumlah keseluruhannya RM232,000,000 (S$70 juta). 

Wan Saiful juga dituduh menerima bagi dirinya suatu suapan iaitu wang tunai sejumlah RM6,962,694.54 (S$2.1 juta) melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Syarikat Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek tersebut.

Mantan pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu didakwa melakukan kedua-dua perbuatan tersebut di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini, sekitar April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini antara 8 Julai 2022 hingga 30 Sep 2022.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala Wan Saiful diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik.

Sumber : Bernama/SU/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita