Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ketua Pembangkang M'sia gesa PM Anwar tarik balik pelantikan Nurul Izzah sebagai Penasihat Kanan Ekonomi, Kewangan PM

Anggaran Waktu Membaca:
Ketua Pembangkang M'sia gesa PM Anwar tarik balik pelantikan Nurul Izzah sebagai Penasihat Kanan Ekonomi, Kewangan PM

Cik Nurul Izzah Anwar menyampaikan ucapan di sebuah majlis konvokesyen kolej pada 16 Jan 2023. (Gambar: Facebook/Nurul Izzah Anwar)

PETALING JAYA: Ketua Pembangkang Malaysia Hamzah Zainudin menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim menarik balik pelantikan Nurul Izzah sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepadanya.

Beliau berkata, amalan nepotisme yang didakwa berlaku dalam PKR tidak boleh diheret sama ke dalam pentadbiran kerajaan kerana ia boleh merosakkan imej.

Katanya, pelantikan itu juga tidak wajar, salah, malah bertentangan sama sekali dengan amalan tadbir urus baik, berintegriti dan bebas rasuah.

“Amalan nepotisme oleh Anwar, yang melantik anaknya sendiri, Nurul Izzah, sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri adalah pengkhianatan kepada rakyat Malaysia."

“Nepotisme dalam PKR tidak boleh diheret sama ke dalam pentadbiran kerajaan. ‘Walk the talk please’,” katanya dalam satu kenyataan, lapor agensi berita Free Malaysia Today.

Encik Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu berkata, pro bono bukan alasan untuk menghalalkan nepotisme dan tindakan Encik Anwar mempertahankan pelantikan anaknya adalah sesuatu yang amat memalukan, lebih-lebih lagi ahli perniagaan, Hassan Marican sudah bertindak sebagai penasihat kepada Perdana Menteri.

“Ternyata Malaysia Madani hanyalah retorik kosong kerana keutamaan Perdana Menteri nampaknya lebih terarah kepada ahli keluarga sendiri berbanding menyelesaikan isu kos sara hidup, menangani cabaran ekonomi serta meneroka pasaran baru untuk Malaysia,” katanya, seperti dipetik daripada Free Malaysia Today.

Sebelum ini, Encik Anwar berkata, pelantikan Cik Nurul Izzah sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan Perdana Menteri dibuat kerana beliau berkelayakan.

Katanya, Cik Nurul Izzah mempunyai ijazah pertama dalam bidang kejuruteraan dan ijazah kedua dalam dasar awam dan sosial dari Universiti Johns Hopkins, Amerika Syarikat, sekali gus dilantik bagi membantunya di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Kewangan.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan