Ketua pembangkang Korea Selatan letak jawatan, dijangka umum pencalonan bagi pilihan raya presiden
Ketua parti pembangkang utama Korea Selatan, Lee Jae-myung mengumumkan pada Rabu (9 Apr) beliau akan meletak jawatan sebagai ketua parti.
Encik Lee Jae-myung tiba di sebuah mahkamah di Korea Selatan pada 26 Mac 2025. (Gambar fail: Pool melalui REUTERS/Kim Hong-Ji)
Peletakan jawatannya berlaku di tengah-tengah jangkaan bahawa beliau akan mengisytiharkan pencalonannya dalam pilihan raya presiden tidak lama lagi.
Menteri Buruh Korea Selatan Kim Moon-soo, yang sebelum ini antara segelintir ahli Parti Kuasa Rakyat yang menyatakan hasrat untuk bertanding, sudah pun mengisytiharkan pencalonannya.
Korea Selatan akan mengadakan Pilihan Raya Presiden pada 3 Jun, selepas pendakwaan mantan Presiden Yoon Suk Yeol dilaksanakan pada 4 April lalu.
"Saya kini akan memulakan tugas baharu," kata Encik Lee, ketua Parti Demokratik dalam satu mesyuarat kepimpinan parti yang disiarkan secara langsung di laman YouTube miliknya.
Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut dan tidak mengesahkan sama ada beliau akan bertanding bagi jawatan presiden.
Encik Lee, 61 tahun, kalah dengan margin paling tipis dalam sejarah pilihan raya presiden negara itu ketika menentang mantan Presiden Yoon dalam Pilihan Raya Presiden pada 2022.
Tahun lalu, beliau memimpin pasukan liberal dan meraih kemenangan besar dalam pilihan raya parlimen.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.