Skip to main content

Dunia

Ketua pembangkang Afghanistan sedia berunding dengan Taliban

Pemimpin kumpulan pembangkang Afghanistan di lembah Panjshir di utara Kabul berkata pada Ahad (5 Sep) beliau meyambut baik usulan para ulama untuk duduk di meja rundingan bersama Taliban bagi menamatkan pertempuran.

Anggaran Waktu Membaca:
Ketua pembangkang Afghanistan sedia berunding dengan Taliban

Gambar fail Ahmad Massoud (Gambar: Reuters/Mohammad Ismail)

Diterbitkan : 06 Sep 2021 12:22PM Dikemas Kini : 06 Sep 2021 12:31PM

REUTERS: Pemimpin kumpulan pembangkang Afghanistan di lembah Panjshir di utara Kabul berkata pada Ahad (5 Sep) beliau meyambut baik usulan para ulama untuk duduk di meja rundingan bersama Taliban bagi menamatkan pertempuran.

Ahmad Massoud, ketua Fron Pemberontakan Nasional Afghanistan (NRFA) mengumumkan demikian di Facebook kumpulan tersebut. Awal sebelum itu, pasukan Taliban menyatakan pihaknya telah berjaya memasuki ibu kota wilayah Panjshir setelah menguasai kawasan sekeliling.

"NRF pada prinsipnya setuju untuk menghuraikan masalah sekarang ini dan segera menghentikan pertempuran dan meneruskan rundingan," kata Massoud dalam catatan Facebook.

"Untuk mencapai perdamaian yang berkekalan, NRF bersedia untuk hentikan pertempuran dengan syarat Taliban juga menghentikan serangan dan gerakan ketenteraan mereka di Panjshir dan Andarab," katanya, merujuk kepada sebuah daerah di wilayah berdekatan Baghlan.

Katanya, perhimpunan besar semua pihak dengan majlis Ulama boleh diadakan.

Media Afghanistan sebelum itu melaporkan bahawa dewan ulama telah meminta Taliban untuk menerima penyelesaian yang dirundingkan untuk menamatkan pertempuran di Panjshir.

Taliban tidak segera memberi respons.

Pada Ahad, NRFA juga mengesahkan bahawa jurucakap utamanya, Fahim Dashti, terbunuh pada siang hari. Dashti terselamat dari serangan nekad yang membunuh ayah Massoud, Ahmad Shah Massoud, pada 9 Sep 2001, hanya beberapa hari sebelum serangan 11 September di Amerika Syarikat.

Massoud, yang memimpin pasukan terdiri dari saki baki pasukan tentera Afghanistan dan pasukan khas serta pejuang bersenjata tempatan, menyeru penyelesaian yang dirundingkan dengan Taliban sebelum pertempuran meletus sekitar seminggu lalu.

Beberapa percubaan untuk mengadakan rundingan diadakan tetapi akhirnya gagal, dengan kedua-dua pihak saling menyalahkan satu sama lain atas kegagalannya.

Jurucakap Taliban Bilal Karimi berkata pada awal Ahad bahawa pasukannya telah masuk ke ibu kota wilayah Bazarak, dan merampas sejumlah besar senjata dan peluru.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita