Ketua PBB janji sokongan bantuan gema bumi di Venezuela
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres berjanji untuk memberikan sokongan penuh badan dunia itu kepada usaha bantuan gempa bumi di Venezuela, menurut jurucakapnya pada Jumaat (26 Jun), lapor Xinhua.
Sebuah bangunan runtuh selepas gempa bumi di Caracas, Venezuela, pada 24 Jun 2026. (Gambar AP/Adrian Naranjo)
Jurucakap Setiausaha Agung PBB Stephane Dujarric berkata Encik Guterres menghubungi Pemangku Presiden Venezuela Delcy Rodriguez menerusi telefon pada Khamis malam dan melahirkan semangat perpaduan beliau kepada rakyat serta pemerintah Venezuela menyusuli gempa bumi dahsyat yang melanda negara itu.
Beliau berkata Encik Guterres turut berjanji bahawa "seluruh sistem PBB akan memberikan kerjasama penuh" bagi menyokong usaha bantuan yang diterajui pemerintah Venezuela.
Sementara itu, menurut Encik Dujarric, PBB bersama rakan kemanusiaannya sedang memperhebatkan operasi tindak balas dengan menjalankan penilaian situasi serta menggerakkan bantuan.
Beliau berkata Penyelaras Bantuan Kecemasan PBB Tom Fletcher sudah meluluskan peruntukan sebanyak US$15 juta (S$19.41 juta) daripada Dana Tindak Balas Kecemasan Pusat (CERF) bagi menyokong bantuan segera yang dapat menyelamatkan nyawa di Venezuela.
Encik Dujarric berkata Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) turut menyokong usaha penyelarasan di lapangan, memudah cara perkongsian maklumat serta bekerjasama dengan rakan strategik bagi memastikan pasukan mencari dan menyelamat antarabangsa dapat digerakkan secara berkesan.
Menurut beliau, sebanyak 30 pasukan mencari dan menyelamat dikerah ke Venezuela, melibatkan lebih 1,600 anggota dan 100 ekor anjing pengesan dari pelbagai negara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.