Skip to main content

Dunia

Ketua PBB beri amaran 'bencana kemanusiaan' di Afghanistan

 Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, pada Selasa (31 Ogos) memberi amaran tentang "bencana kemanusiaan" di Afghanistan dan menggesa negara-negara menyumbang dana kecemasan susulan pengunduran pasukan tentera Amerika Syarikat.

Anggaran Waktu Membaca:
Ketua PBB beri amaran 'bencana kemanusiaan' di Afghanistan

Orang ramai beratur menunggu bank dibuka pada 31 Ogos. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 01 Sep 2021 03:34PM Dikemas Kini : 01 Sep 2021 03:39PM

NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, pada Selasa (31 Ogos) memberi amaran tentang "bencana kemanusiaan" di Afghanistan dan menggesa negara-negara menyumbang dana kecemasan susulan pengunduran pasukan tentera Amerika Syarikat.

Encik Guterres melahirkan keprihatinannya terhadap krisis kemanusiaan dan ekonomi yang semakin serius di negara itu sambil menambah, perkhidmatan asas mungkin akan turut lumpuh sepenuhnya.

"Kanak-kanak, wanita dan lelaki amat memerlukan sokongan dan dukungan daripada masyarakat antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan bagi merayu bantuan kewangan disumbangkan kepada penduduk negara itu.

"Saya menggesa semua negara anggota membantu penduduk Afghanistan yang ketika ini amat memerlukan sokongan. Saya menggesa mereka menghulurkan bantuan pembiayaan menyeluruh dan fleksibel,"katanya.

Setiausaha Agung PBB itu turut mengumumkan, PBB akan mengeluarkan butiran rayuan kilat itu pada minggu depan.

Maklumat itu akan memberikan butiran bantuan kemanusiaan yang amat mendesak, selain keperluan pembiayaan dalam tempoh empat bulan lagi.

Encik Guterres menambah, Penolong Setiausaha Agung bagi Hal Ehwal Kemanusiaan dan Penyelaras Bantuan Kecemasan PBB, Martin Griffiths, akan menyelaraskan keseluruhan sistem pertubuhan itu bagi tujuan rayuan kemanusiaan berkenaan.

Menurutnya, hampir separuh daripada penduduk Afghanistan iaitu 18 juta orang, memerlukan bantuan kemanusiaan segera untuk meneruskan hidup.

"Satu daripada tiga rakyat Afghanistan tidak tahu sama ada akan terus mendapat makanan selepas ini.

"Lebih daripada separuh kanak-kanak di bawah umur lima tahun dijangka mengalami kekurangan zat makanan.

"Penduduk tidak mendapat akses kepada barang dan perkhidmatan asas setiap hari," katanya.

Tambah beliau dengan cuaca kemarau dan keadaan musim sejuk yang teruk akan datang, permintaan bagi bekalan makanan, perlindungan dan kesihatan menjadi lebih terdesak lagi.
Encik Guterres turut menegaskan komitmen agensi-agensi kemanusiaan untuk terus berada di Afghanistan dan usaha menyampaikan bantuan tidak sesekali luntur.

Sumber : AFP/SU/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita