Skip to main content

Dunia

Ketua Menteri Sabah Hajiji beri bayangan Pilihan Raya Negeri diadakan Sep 2025

Anggaran Waktu Membaca:
Ketua Menteri Sabah Hajiji beri bayangan Pilihan Raya Negeri diadakan Sep 2025

Gambar: Hajiji Haji Noor/Facebook

Diterbitkan : 13 Apr 2024 10:44PM Dikemas Kini : 13 Apr 2024 10:45PM
TUARAN: Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah hanya akan diadakan selepas tamat penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) sedia ada iaitu September 2025.

Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, memberi bayangan itu apabila menyatakan tempoh DUN semasa masih panjang dan banyak urusan pentadbiran perlu diselesaikan.

Beliau berkata, masih banyak masa diperlukan untuk melaksanakan tugasan, khususnya beberapa isu pembangunan dihadapi rakyat negeri itu.

"Saya tidak tahu (bila pilihan raya). Saya sebagai ketua kerajaan Sabah akan membuat keputusan bila kita mengadakan pilihan raya, tapi tempoh (DUN) kita sekarang sehingga hujung September tahun depan," katanya, dipetik daripada BH Online.

Beliau ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjurannya di Dewan Sri Sulaman, pada Sabtu (13 Apr).

Encik Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman ditanya sama ada sudah memikirkan tarikh PRN17 memandangkan ramai menjangkakan pilihan raya diawalkan sejajar peningkatan suhu politik di Sabah kebelakangan ini.

"Kita ada banyak lagi tugasan perlu ditunaikan dan dilaksanakan, khususnya menyelesaikan masalah rakyat seperti isu air.

"Walaupun masalah air bukan perkara baharu dan diwarisi daripada kerajaan lalu, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita akan menyelesaikannya.

"Kita mempunyai peruntukan RM300 juta (S$86 juta) untuk melaksanakan beberapa projek dan selepas siap nanti akan melancarkan agihan air di Kota Kinabalu dan juga daerah yang lain," katanya, lapor BH Online.

Encik Hajiji berkata, kerajaan negeri menjangkakan masalah air khususnya di ibu negeri dan daerah sekitarnya selesai dengan siapnya pelaksanaan projek berkaitan tahun ini.

Tahun lalu, Encik Hajiji pernah menyuarakan jangkaan PRN17 diadakan lebih awal, termasuk kemungkinan tahun ini namun tertakluk kepada situasi politik semasa di negeri tersebut.
 
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita