Skip to main content

Dunia

Ketua Menteri Ab Rauf sahkan Melaka bakal bentuk Kerajaan Perpaduan, libatkan ADUN PH

Anggaran Waktu Membaca:
Ketua Menteri Ab Rauf sahkan Melaka bakal bentuk Kerajaan Perpaduan, libatkan ADUN PH

(Gambar: Facebook Ab Rauf Yusoh)

AYER KEROH: Selepas kurang 24 jam mengangkat sumpah, Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh mengesahkan Melaka bakal membentuk Kerajaan Perpaduan seperti yang dilaksanakan di peringkat persekutuan.

Beliau juga memberi bayangan pelantikan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) akan turut melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) blok Pakatan Harapan (PH).
ADUN Tanjung Bidara itu berkata kerajaan baru yang akan dibentuk di Melaka merupakan hasil muafakat antara beberapa parti politik.

"Ingin saya tegaskan, kerajaan baru negeri Melaka ini adalah sebuah kerajaan negeri yang kukuh dan stabil.

"Ia adalah Kerajaan Perpaduan yang dibentuk hasil muafakat bersama antara parti-parti politik yang mempunyai mandat yang kuat untuk berkhidmat kepada rakyat Melaka.

"Saya juga akan memastikan barisan Exco yang akan dibentuk adalah lebih inklusif dan mencerminkan Kerajaan Perpaduan di Putrajaya,” Astro Awani memetik hantarannya di Facebook lewat petang pada Jumaat (31 Mac).

Menurut Encik Ab Rauf, beliau merangka Pelan 100 Hari di bawah kerajaan baru pimpinannya dalam memastikan lebih banyak pelaburan dan pekerjaan untuk Melaka.

Beliau menambah segala perancangan dan pembangunan yang mesra rakyat akan diteruskan demi merancakkan lagi ekonomi negeri, selain menjadikan Melaka sebagai negeri yang menyokong perniagaan.

“Rakyat Melaka dahagakan pembangunan. Mereka mahu melihat kemudahan hospital, kemudahan sekolah, peluang berniaga dan peluang pekerjaan dan pendapatan yang lebih baik.

“Melaka juga memerlukan infrastruktur, termasuk bekalan air, jalan raya dan digital, yang lebih baik,” tambahnya, lapor Astro Awani.

Pada Jumaat, Ab Rauf memaklumkan barisan Exco Melaka akan dilantik dalam tempoh 48 jam.

Perkara itu, katanya, akan dibincangkan bersama Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi sebelum membuat sebarang keputusan.
 
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita