Ketua Liga Arab beri amaran usaha Israel ubah realiti di wilayah Palestin diduduki
Setiausaha Agung Liga Arab, Nabil Fahmy pada Jumaat (7 Ogos) memberi amaran terhadap usaha Israel mengubah realiti di lapangan di wilayah Palestin yang diduduki, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA) yang memetik Egypt Today.
Setiausaha Agung Liga Arab, Nabil Fahmy mengkritik keras strategi Israel yang menggunakan kekuatan ketenteraan untuk mewujudkan 'fait accompli' di lapangan. (Gambar fail: REUTERS)
- Nabil Fahmy, Setiausaha Agung Liga Arab, memberi amaran keras terhadap tindakan Israel mengubah realiti di wilayah Palestin yang diduduki.
- Beliau mengecam penggunaan kekuatan ketenteraan Israel serta serangan berterusan ke atas Gaza, Tebing Barat, Lubnan dan Syria.
- Fahmy menegaskan bahawa tindakan Israel hanya meningkatkan ketegangan dan menjejaskan keselamatan serantau.
- Beliau menyeru pematuhan resolusi PBB dan undang-undang antarabangsa, serta penubuhan negara Palestin merdeka berasaskan sempadan 1967.
Encik Fahmy mengecam keras strategi Israel yang menggunakan kekuatan ketenteraan untuk mewujudkan 'fait accompli' (keadaan yang sudah menjadi kenyataan) di lapangan dan meluaskan wilayahnya.
Beliau menegaskan, serangan berterusan ke atas orang awam dan prasarana di Carikan Gaza serta Tebing Barat yang diduduki, selain pelanggaran berulang terhadap kedaulatan Lubnan dan Syria, merupakan kesinambungan berbahaya dasar-dasar yang menggugat kestabilan serantau.
Beliau menjelaskan, penggunaan kekerasan yang semakin meluas dan pelanggaran kedaulatan negara-negara Arab tidak akan membawa keselamatan atau kestabilan kepada Israel.
Sebaliknya, tindakan itu, kata beliau, akan meningkatkan ketegangan, memperluas skop konfrontasi dan menjejaskan keselamatan di seluruh rantau berkenaan.
Setiausaha agung itu turut menegaskan pentingnya menghormati kedaulatan dan keutuhan wilayah negara-negara Arab, menghentikan serangan terhadap Lubnan dan Syria serta menamatkan pendudukan di wilayah Arab, khususnya wilayah Palestin.
Beliau menegaskan semula bahawa keamanan dan kestabilan yang berkekalan memerlukan pematuhan tegas terhadap resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa, serta penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka berdasarkan sempadan 4 Jun 1967, dengan Baitulmakdis Timur sebagai ibu negaranya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.