Skip to main content

Dunia

Ketua kumpulan sayap kanan ekstrem Austria disiasat atas kaitan pengganas New Zealand

Para penyiasat Austria menyerbu apartmen seorang ketua kumpulan sayap kanan ektsrem yang mungkin ada kaitan dengan pengganas yang melakukan serangan maut di dua masjid New Zealand, kata para pegawai pada Selasa (26 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Ketua kumpulan sayap kanan ekstrem Austria disiasat atas kaitan pengganas New Zealand

Gambar fail ketua kumpulan Identitarian Movement Austria (IBOe), Martin Sellner, semasa sidang media di Vienna, Austria. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 27 Mar 2019 09:14AM Dikemas Kini : 27 Mar 2019 09:55AM

VIENNA: Para penyiasat Austria menyerbu apartmen seorang ketua kumpulan sayap kanan ektsrem yang mungkin ada kaitan dengan pengganas yang melakukan serangan maut di dua masjid New Zealand, kata para pegawai pada Selasa (26 Mac).

Dalam satu video yang dimuat naik online pada lewat Isnin (25 Mac), Martin Sellner dari kumpulan Identitarian Movement Austria (IBOe) berkata beliau menerima derma yang mungkin diberi oleh Brenton Tarrant.

Sellner bagaimanapun menafikan sebarang kaitan dengan serangan pengganas pada 15 Mac yang meragut nyawa 50 orang. Beliau sebaliknya menyalahkan Tarrant kerana cuba membabitkannya dengan memberi derma tersebut.

"Saya tidak terlibat langsung dalam serangan pengganas ini," kata Sellner dalam rakaman video itu, sambil menambah bahawa kumpulan yang diketuainya merupakan sebuah gerakan anti-penghijrahan yang aman.

Pada Selasa (26 Mac), Canselor Austria Sebastian Kurz yang mentadbir dalam gabungan bersama sebuah parti sayap kanan ekstrem menggesa agar siasatan "yang menyeluruh dan tanpa belas kasihan" dijalankan bagi menyiasat sebarang kaitan.

Sellner berkata beliau tidak mempunyai sebarang hubungan dengan Tarrant, tetapi beliau menemui emel yang mengandungi jumlah derma "amat tinggi" dengan nama "Tarrant" dalam alamat emel tersebut.

Sellner menambah beliau menjawab kiriman itu dengan "terima kasih", seperti yang dilakukannya dengan emel-emel derma yang lain. Emel itu dihantar sebelum berlakunya serangan ke atas dua masjid di bandar Christchurch, New Zealand.

Menurut Sellner, pihak berkuasa turut merampas komputer dan telefonnya semasa serbuan yang dijalankan ke atas apartmennya di Vienna pada Isnin (25 Mac).

Pejabat pendakwa raya di bandar Graz di bahagian selatan Austria menyatakan, pihak berkuasa menemui alamat emel yang mencurigakan semasa menyiasat sumbangan derma sekitar 1,500 euro (S$2,290), iaitu lebih tinggi berbanding jumlah biasa diberikan kepada IBOe.

Pada minggu lalu, pihak berkuasa mengesahkan bahawa Tarrant yang sering mengunjungi Eropah juga pernah melakukan lawatan ke Austria.

Menurut laporan-laporan media, Tarrant tiba di Vienna pada 26 November. Dia kemudian mengunjungi kawasan-kawasan lain di Austria, termasuk Salzburg dan Innsbruck.

Tarrant, pelampau haluan kanan kulit putih berusia 28 tahun, diberkas beberapa minit selepas melakukan serangan di dua masjid di Christchurch. Dia didakwa atas tuduhan membunuh.

Dia juga menyiarkan secara langsung perbuatan kejamnya secara online.

Pada Mac lalu, Sellner dihalang daripada memasuki United Kingdom. Pihak berkuasa menyatakan bahawa kehadirannya "tidak membantu dalam penjagaan ketenteraman orang awam".  

Sumber : AFP/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita