Ketua ISIS tampil dalam video pertama setelah 5 tahun
Ketua kumpulan ISIS yang sukar dijejaki, Abu Bakr al-Baghdadi, membuat penampilan pertamanya dalam lima tahun menerusi sebuah video propaganda yang dikeluarkan pada Isnin (29 Apr).
Petikan gambar daripada video propaganda yang dikeluarkan pada 29 Apr 2019, menunjukkan ketua ISIS Abu Bakr al-Baghdadi.
BAGHDAD: Ketua kumpulan ISIS yang sukar dijejaki, Abu Bakr al-Baghdadi, membuat penampilan pertamanya dalam lima tahun menerusi sebuah video propaganda yang dikeluarkan pada Isnin (29 Apr). Dia mengakui ISIS tewas di Baghouz sambil mengancam akan melakukan serangan "membalas dendam"
Lelaki yang paling dikehendaki di dunia itu kali terakhir dilihat di Mosul pada 2014 ketika mengumumkan kelahiran "khalifah" ISIS yang sangat digeruni di sebahagian besar kawasan Iraq dan Syria.
Dalam video yang dikeluarkan oleh saluran media ISIS Al-Furqan pada Isnin, lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Baghdadi merujuk kepada perjuangan selama berbulan-bulan lamanya ke atas benteng terakhir ISIS - Baghouz - yang berakhir pada Mac.
Dia juga merujuk kepada rentetan kekalahan ISIS termasuk ibu kota Iraq iaitu Mosul dan Sirte di Libya namun menegaskan bahawa para militan tidak "menyerahkan" wilayah.
"Tuhan memerintah kita untuk melancarkan jihad. Dia tidak memerintah kita untuk menang," kata beliau ketika berucap kepada tiga lelaki yang dikaburkan wajah mereka dalam video tersebut.
Dalam satu segmen yang mana lelaki itu tidak kelihatan di dalam kamera, suaranya merujuk kepada serangan Hari Easter pada 21 April lalu di Sri Lanka - yang meragut 253 nyawa dengan 500 orang lain cedera - sebagai "balas dendam bagi saudara-saudaranya di Baghouz".
Lelaki berkenaan menegaskan operasi ISIS ke atas Barat adalah sebahagian daripada "pertempuran panjang" dan ia akan terus "membalas dendam" bagi para anggotanya yang telah dibunuh.
"Lebih banyak akan menyusul selepas pertempuran ini," katanya.
Amerika Syarikat, yang mengetepikan ganjaran bernilai AS$25 juta (S$34 juta) bagi sesiapa yang berjaya menangkap Baghdadi, menyatakan ia akan menilai kesahihan video tersebut namun berikrar untuk terus berjuang menentang kumpulan ekstremis itu.
Tentera sekutu diterajui Amerika Syarikat akan "memastikan para pengganas ini tewas dan mana-mana pemimpin yang masih hidup bakal menerima keadilan sewajarnya," kata seorang jurucakap Jabatan Negara.
Baghdadi turut merujuk kepada tunjuk perasaan rakyat di Sudan dan Algeria, sekaligus menggambarkan bahawa rakaman video itu dibuat baru-baru ini.
"Penyebutan tempat-tempat seperti Sri Lanka dan Sudan terutamanya untuk menandakan bila video itu dihasilkan, untuk menunjukkan ia tidak dicipta lama dahulu," kata Encik Amarnath Amarasingam, zamil penyelidik kanan di Institut Dialog Strategik.
Di hujung video tersebut, Baghdadi kelihatan memeriksa laporan bulanan kegiatan sejagat ISIS termasuk di kawasan yang belum diumumkan sebagai "wilayah" ISIS secara rasmi lagi.
Lelaki dalam video selama 18 minit itu dikenal pasti sebagai Baghdadi oleh kedua-dua Kumpulan Perisikan SITE, yang menjejaki ISIS, dan Hisham al-Hashemi, pakar Iraq mengenai kumpulan tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.