Ketua IRC beri amaran aliran bantuan ke Gaza mungkin ambil masa
Aliran bantuan ke Gaza mungkin mengambil masa untuk dipertingkatkan, kata ketua Jawatankuasa Penyelamat Antarabangsa (IRC) David Miliband pada Isnin (20 Jan), setelah lori-lori bantuan kemanusiaan membuat penghantaran untuk hari kedua menyusuli pelaksanaan gencatan senjata.
(Gambar: Reuters)
Di bawah perjanjian itu, 600 lori bantuan kemanusiaan dibenarkan masuk ke Gaza setiap hari sepanjang enam minggu pertama gencatan senjata dikuatkuasakan.
Ini termasuk 50 lori membawa bahan api.
"Ia satu peningkatan ketara," kata Encik Miliband yang mendedahkan demikian kepada Reuters di London.
"Saya khuatir... ia akan mengambil masa. Kita ingin meningkatkannya secepat mungkin."
Menurutnya, IRC di Gaza lebih tertumpu kepada bekalan air dan sanitasi, perlindungan bagi kanak-kanak dan jagaan kesihatan yang lain.
"Apa yang penting adalah bekalan perubatan dapat dihantar masuk, bekalan air... bahan api... pekerja bantuan kemanusiaan... dan sama ada mereka dapat melintas masuk ke Gaza dengan selamat," katanya sambil merujuk kepada isu berlaku penjarahan dan ancaman keselamatan terhadap penghantaran yang telah menjadi satu isu besar sepanjang perang di wilayah itu.
Ia berlaku di tengah-tengah bantuan terhad kepada Gaza.
Selaras dengan pemimpin kemanusiaan yang lain, Encik Miliband berkata pembiayaan dana juga diperlukan bagi memastikan bantuan berterusan dapat diberikan di Gaza, untuk apa yang beliau sifatkan sebagai "lonjakan terbesar bekalan bantuan kerana ia satu kecemasan berskala sangat besar".
Sebelum ini, ketua bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Tom Fletcher berkata 630 lori telah memasuki Gaza pada hari pertama gencatan senjata dilaksanakan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.