Skip to main content

Dunia

Ketua iklim PBB gesa perunding COP30 'jangan buang masa berdolak-dalik'

Anggaran Waktu Membaca:
Ketua iklim PBB gesa perunding COP30 'jangan buang masa berdolak-dalik'
Kerusi delegasi Amerika Syarikat kosong semasa Segmen Peringkat Tinggi (HLS) COP30 di Belem, Brazil, 17 November 2025. (Gambar: REUTERS/Adriano Machado)
Diterbitkan : 18 Nov 2025 07:03AM Dikemas Kini : 18 Nov 2025 07:12AM
BELEM: Ketua iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Simon Stiell pada Isnin (17 Nov) menggesa para menteri untuk mempercepatkan rundingan di Sidang Puncak COP30 di Brazil, memandangkan negara-negara masih berpecah belah mengenai isu-isu utama dengan baki lima hari sebelum persidangan itu berakhir.

"Terdapat banyak kerja yang sedang menanti para menteri dan perunding. Saya menggesa anda supaya segera menangani isu-isu paling sukar," kata Encik Stiell kepada perhimpunan itu.

"Kita sama sekali tidak boleh membuang masa dengan taktik melengah-lengahkan atau berdolak-dalik," katanya lagi.

Menteri-menteri dari seluruh dunia mula tiba di Belem untuk mengambil alih rundingan dan cuba memecahkan kebuntuan ketika minggu kedua dan terakhir rundingan bermula.

Tiga isu menyekat kemajuan selepas seminggu mengadakan rundingan di bandar Amazon:

China, India, dan negara-negara sekutu lain mahu COP30 menerima pakai keputusan menentang halangan perdagangan sepihak - kritikan terhadap "cukai karbon" Kesatuan Eropah ke atas import barangan intensif karbon seperti keluli, aluminium, dan baja.

Negara-negara pulau yang terdedah kepada kenaikan paras air laut - disokong oleh negara-negara Amerika Latin dan Kesatuan Eropah (EU) - percaya adalah penting untuk COP30 bertindak balas terhadap unjuran terkini yang menunjukkan dunia akan gagal mengehadkan pemanasan bumi kepada 1.5 darjah Celsius, dan meningkatkan komitmen iklim masing-masing.

Namun, negara-negara yang berkembang pesat, dari China hingga Arab Saudi, tidak mahu teks yang membayangkan mereka tidak melakukan usaha yang secukupnya untuk membendung perubahan iklim.

Titik pertikaian ketiga adalah usaha negara-negara membangun, terutamanya dari Afrika, yang menuding jari kepada negara-negara maju kerana gagal menyediakan pembiayaan yang mencukupi untuk membantu mereka menyesuaikan diri dengan perubahan iklim dan mengurangkan pelepasan karbon.

Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva juga dijangka tiba pada Rabu untuk mengukuhkan kata sepakat dalam kalangan negara yang menghadiri sidang puncak itu di bandar Amazon, Belem, menjelang sesi akhir pada Jumaat (21 Nov).
Sumber : Agensi berita/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita