Ketua IAEA jangka kerosakan 'ketara' di tapak Fordow Iran
Loji Pengayaan Bahan Api Fordow (FFEP) Iran, di timur laut bandar Qom, pada 22 Jun 2025, selepas serangan Amerika ke atas tapak tersebut. (Gambar: Maxar Technologies melalui AFP)
Sekalipun demikian, tahap kerosakan sebenar belum dapat dipastikan, kata ketua agensi pemantau nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Rafael Grossi pada Isnin (23 Jun).
Pada Ahad, Amerika Syarikat menjatuhkan bom konvensional terbesar dalam simpanan senjatanya ke atas kemudahan nuklear Iran.
Amerika Syarikat menggunakan bom pemusnah bunker itu buat pertama kali dalam pertempuran untuk cuba musnahkan tapak-tapak tersebut, termasuk loji pengayaan uranium Fordow yang dibina di dalam gunung.
"Setakat ini, tiada sesiapa, termasuk IAEA (Agensi Tenaga Atom Antarabangsa) yang berada dalam kedudukan untuk menilai sepenuhnya kerosakan bawah tanah di Fordow," kata Encik Grossi dalam kenyataan kepada mesyuarat kecemasan lembaga gabenor IAEA yang terdiri daripada 35 negara.
IAEA tidak dapat menjalankan pemeriksaan di Iran sejak Israel memulakan serangan ketenteraannya ke atas kemudahan nuklear di sana pada 13 Jun.
"Memandangkan muatan bahan letupan yang digunakan dan sifat mesin emparan yang sangat sensitif terhadap getaran, kerosakan yang sangat ketara dijangka sudah berlaku," tambah Encik Grossi.
Selain tahap kerosakan di dewan pengayaan bawah tanah Fordow, satu persoalan besar yang belum terjawab adalah status simpanan uranium diperkaya mereka.
Ini termasuk lebih 400kg uranium yang diperkaya sehingga 60 peratus ketulenan.
Tahap ini hanya selangkah lagi dari kira-kira 90 peratus ketulenan yang merupakan gred senjata (nuklear).
Ia memadai, jika diperkayakan lagi, untuk sembilan senjata nuklear, menurut ukuran IAEA, walaupun Iran menyatakan niatnya adalah damai dan ia tidak mahukan bom atom.
Sekalipun demikian, Iran memaklumkan kepada IAEA pada 13 Jun bahawa ia akan mengambil "langkah-langkah khas" untuk melindungi bahan dan peralatan nuklearnya yang berada di bawah apa yang dinamakan sebagai perlindungan IAEA, pengawasan yang disediakan oleh Perjanjian Kawalan Senjata Nuklear, kata Encik Grossi.
"Dalam respons saya pada hari yang sama, saya mengatakan bahawa sebarang pemindahan bahan nuklear dari kemudahan yang dilindungi ke lokasi lain di Iran mesti diisytiharkan kepada agensi," katanya.
"Sebarang langkah khas oleh Iran untuk melindungi bahan dan peralatan nuklearnya ... boleh dilakukan selaras dengan kewajipan perlindungan Iran ... Ini boleh dilakukan."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.