Skip to main content

Dunia

Ketua hak asasi PBB beri bayangan teruskan siasatan ke atas Xinjiang tanpa persetujuan China

Ketua hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) patut mendokumenkan dapatannya sendiri berhubung nasib masyarakat Uyghur di Xinjiang walaupun tanpa lampu hijau dari China untuk mengadakan lawatan.

Anggaran Waktu Membaca:
Ketua hak asasi PBB beri bayangan teruskan siasatan ke atas Xinjiang tanpa persetujuan China

Gambar dipetik pada 4 Jun 2019 menunjukkan kemudahan yang dipercayai sebagai kem tahanan masyarakat minoriti Muslim di Xinjiang, China (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 25 Jun 2021 09:47PM Dikemas Kini : 25 Jun 2021 09:48PM

GENEVA: Ketua hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) patut mendokumenkan dapatannya sendiri berhubung nasib masyarakat Uyghur di Xinjiang walaupun tanpa lampu hijau dari China untuk mengadakan lawatan.

Demikian gesa para diplomat dan aktivis Barat, setelah muncul tanda-tanda membayangkan bahawa kesabaran beliau semakin menipis.

Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia Michelle Bachelet, berkata pada Isnin (21 Jun) bahawa beliau berharap untuk mencapai persetujuan berhubung syarat-syarat bagi lawatan ke China tahun ini untuk menyiasat dakwaan-dakwaan berkenaan penahanan beramai-ramai, penganiayaan dan buruh paksa.

Beijing menolak semua dakwaan penderaan ke atas umat Islam Uyghur dan Turkic lain, menyifatkan kem-kem di barat negara itu sebagai kemudahan latihan penjurusan yang bertujuan untuk menangani fahaman pelampau agama.

Kanada memimpin 45 negara, termasuk Amerika Syarikat, yang pada Selasa (22 Jun) menggesa China supaya membenarkan Cik Bachelet segera dapat memasuki Xinjiang untuk menjalankan penilaian langsung.

China menolak kenyataan tersebut sebagai campur tangan yang didorong "motif politik". Ia menyatakan pihaknya menyambut baik lawatan Cik Bachelet, tetapi ia patut ditumpukan kepada usaha "mempromosikan pertukaran dan kerjasama dan bukan siasatan berdasarkan apa yang disebut sebagai anggapan bersalah".

Cik Bachelet kemudian memberi bayangan kepada Majlis Hak Asasi Manusia bahawa beliau mempunyai pilihan lain, di samping meneruskan rundingan dengan China berhubung lawatan yang sudah tertangguh sejak September 2018.

"Sementara itu, pejabat tersebut terus memperdalam analisis dan penilaiannya ke atas dakwaan tentang perbuatan berulang melanggar hak asasi manusia di Xinjiang," katanya pada Selasa.

Cik Bachelet mempunyai kuasa untuk mengumpulkan bukti penderaan dari jarak jauh, tanpa mandat daripada majlis itu atau undangan daripada negara yang terlibat. Beliau dan seorang individu sebelumnya memulakan siasatan sedemikian ke atas pembunuhan yang dibuat oleh pasukan keselamatan di Venezuela, wilayah Kashmir yang dipertikai dan tenggara Turki.

"Tiada penilaian rasmi PBB tentang apa yang terjadi di Xinjiang dan kami memerlukannya kerana Beijing menolak dakwaan," kata Kenneth Roth, ketua kumpulan pemerhati hak manusia, kepada wartawan pada minggu lalu.

Kumpulan tersebut dan Amnesty International tahun ini merakamkan apa yang mereka katakan boleh dianggap sebagai jenayah terhadap kemanusiaan di Xinjiang.

Sarah Brooks, pakar China di Perkhidmatan Antarabangsa bagi Hak Asasi Manusia, berkata: "Yang perlu dilakukan hanyalah untuk Pesuruhjaya Tinggi Bachelet memperhebat langkah - kerjasama China tidak boleh disalahtafsir sebagai prasyarat untuk beliau menjalankan tugas."

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita