Skip to main content

Dunia

Ketua hak asasi manusia PBB kutuk serangan 'menjijikkan' penduduk petempatan haram Israel di Tebing Barat

Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OHCHR) pada Jumaat (14 Nov) mengecam peningkatan mendadak serangan penduduk petempatan haram Israel dan tindakan tentera Israel di wilayah Palestin yang diduduki di Tebing Barat, sambil memberi amaran bahawa sesetengah tindakan itu mungkin dianggap sebagai jenayah perang, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Anggaran Waktu Membaca:
Ketua hak asasi manusia PBB kutuk serangan 'menjijikkan' penduduk petempatan haram Israel di Tebing Barat
Keganasan semakin meningkat sedang pihak berkuasa Israel memperluas tindakan perobohan rumah, rampasan harta, tangkapan dan sekatan pergerakan. (Gambar: REUTERS)
GENEVA: Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OHCHR) pada Jumaat (14 Nov) mengecam peningkatan mendadak serangan penduduk petempatan haram Israel dan tindakan tentera Israel di wilayah Palestin yang diduduki di Tebing Barat, sambil memberi amaran bahawa sesetengah tindakan itu mungkin dianggap sebagai jenayah perang, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Gambar kumpulan pendudukan petempatan haram Israel bertopeng melakukan serangan dan pembakaran di Tebing Barat yang diduduki minggu ini adalah menjijikkan dan mencerminkan corak keganasan semakin meningkat terhadap rakyat Palestin,” kata jurucakap OHCHR Thameen Al-Kheetan semasa taklimat mingguan di Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva.

Beliau berkata beberapa individu cedera dalam kejadian itu, termasuk serangan terhadap sebuah kilang tenusu serta pembakaran lori penghantaran dan rumah.
Pegawai PBB berkata keganasan semakin meningkat ketika pihak berkuasa Israel memperluas tindakan perobohan rumah, rampasan harta, tangkapan serta sekatan pergerakan.

Encik Thameen turut mengkritik “pembinaan penempatan dan pos baharu yang berterusan serta pengusiran dan pemindahan paksa ribuan rakyat Palestin oleh pendatang haram Israel dan tentera.”

Beliau memberi amaran bahawa “memindahkan penduduk Palestin secara tetap di dalam wilayah diduduki merupakan pemindahan haram, yang merupakan jenayah perang,” sambil menambah bahawa memindahkan orang awam Israel ke wilayah diduduki “juga merupakan jenayah perang.”

PBB menegaskan Israel yang mendakwa kedaulatannya ke atas Tebing Barat melanggar undang-undang antarabangsa dan menafikan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri.

“Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah mengesahkannya,” kata Encik Thameen.

Lebih 260 serangan oleh peneroka haram Israel direkodkan pada Oktober, jumlah bulanan tertinggi sejak 2006.

Menurut angka PBB, sekurang-kurangnya 1,017 rakyat Palestin, termasuk 221 kanak-kanak maut dalam serangan pasukan keselamatan Israel dan pendudukan petempatan haram di Tebing Barat, termasuk Baitulmakdis Timur, sejak Oktober 2023.

Mangsa terbaharu termasuk Aysam Jihad Labib Naser, 13 tahun, yang meninggal dunia selepas terhidu gas pemedih mata bulan lalu, serta dua remaja lelaki berusia 16 tahun yang ditembak mati pada 6 November.
Sumber : Agensi berita/NK/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita