Ketua geng Haiti ugut bunuh 'orang Amerika' diculik dalam satu video online
Seorang lelaki Haiti yang mendakwa dirinya sebagai ketua kumpulan samseng yang menculik sekumpulan warga Amerika dan Kanada berkata dalam satu video pada Khamis (21 Okt) bahawa dia bersedia untuk membunuh "orang-orang Amerika ini" jika tuntutannya tidak dipenuhi.
Pekarangan Christian Aid Ministries di Titanyen, pinggir Port-au-Prince, Haiti (Gambar: REUTERS/Ralph Tedy Erol)
PORT-AU-PRINCE: Seorang lelaki Haiti yang mendakwa dirinya sebagai ketua kumpulan samseng yang menculik sekumpulan warga Amerika dan Kanada dalam sebuah rombongan pendakwah Kristian berkata dalam satu video yang dimuat naik di YouTube pada Khamis (21 Okt) bahawa dia bersedia untuk membunuh "orang-orang Amerika ini" jika tuntutannya tidak dipenuhi.
Lelaki dalam video itu, berpakaian sut ungu, dikenal pasti sebagai lelaki Haiti dengan alias Lamo Sanjou, ketua kumpulan samseng 400 Mawozo.
Reuters tidak dapat mengesahkan secara bebas kesahihan video itu atau bilakah video itu dirakam. Ia menunjukkan lelaki itu bercakap di tepi jalan dan dikelilingi oleh lelaki lain yang tidak dikenali. Kumpulan pendakwah yang diculik tidak kelihatan dalam video itu.
Jurucakap polis Haiti tidak segera menjawab permintaan Reuters untuk memberi komen.
Seorang pegawai tinggi Haiti minggu ini berkata bahawa penculik telah meminta AS$17 juta (S$22.9 juta) bagi pembebasan kumpulan yang ditahan itu.
Sebelum ini media Amerika Syarikat melaporkan 17 anggota kumpulan pendakwah Kristian berserta keluarga mereka, termasuk kanak-kanak, diculik pada Sabtu (16 Okt) di ibu kota Haiti, Port-au-Prince.
Penculikan itu berlaku setelah kumpulan itu meninggalkan sebuah rumah anak-anak yatim di negara Carribean yang dilanda krisis itu, menurut New York Times dan CNN.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.