Ketua Bahagian UMNO sebulat suara ingin segera adakan PRU15
(Gambar: Agensi berita)
KUALA LUMPUR: Seramai 158 daripada 191 Ketua Bahagian UMNO yang menghadiri mesyuarat tergempar di ibu pejabat parti di Kuala Lumpur pada Isnin (22 Ogos) menyatakan kesepakatan mahukan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan segera.
Menurut Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Jamal Md Yunos, keperluan untuk membubarkan Parlimen merupakan antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan Ketua Bahagian UMNO dengan Presiden parti, Dr Ahmad Zahid Hamidi di Menara Dato' Onn.
Berikutan undangan menghadiri mesyuarat tergempar itu lewat dikeluarkan, kata Encik Jamal, hanya 158 daripada 191 ketua bahagian sahaja yang dapat menghadirinya.
Namun begitu, baki 33 ketua bahagian yang tidak menghadiri mesyuarat berkenaan turut menyatakan pendirian yang sama, kata Encik Jamal, seperti dinukil Astro AWANI.
"Keputusan sebulat suara tadi, Ketua Bahagian UMNO satu Malaysia mahu PRU diadakan pada kadar segera.
"Keputusan ini akan disampaikan kepada Perdana Menteri sama ada oleh Presiden atau Setiausaha Agung," katanya ketika ditemui media di lobi Menara Dato' Onn sejurus berakhir pertemuan itu.
Kata Encik Jamal, mesyuarat berkenaan juga sudah selesai dengan kebanyakan ketua bahagian sudah pulang.
Ditanya adakah kes mahkamah mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak dan desakan untuk membubarkan Parlimen disentuh dalam mesyuarat tersebut, beliau menegaskan kedua-dua isu tersebut tidak dibangkitkan.
Encik Jamal juga mengesahkan Naib Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, Encik Ismail Sabri Yaakob tidak menyertai mesyuarat tersebut kerana terikat dengan program lain, lapor Astro AWANI.
Seorang lagi Naib Presiden UMNO, Encik Mahdzir Khalid juga, jelas Encik Jamal, tidak hadir kerana menghadiri program lain.
Selain Dr Ahmad Zahid, Encik Jamal berkata, mesyuarat tergempar itu turut disertai Timbalan Presiden UMNO, Encik Mohamad Hasan dan Naib Presiden UMNO, Encik Mohamed Khaled Nordin.
Terdahulu, beberapa pemimpin UMNO dilihat mengunci mulut, tidak berkongsikan maklumat berkaitan mesyuarat tersebut.
Kata mereka kepada petugas media yang berkampung di Menara Dato’ Onn, mesyuarat tergempar itu hanya membincangkan isu-isu biasa sahaja.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.