Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ketidakstabilan politik antara sebab atlit M'sia 'gagal' di pentas Sukan SEA di Kemboja, kata Menteri

Anggaran Waktu Membaca:
Ketidakstabilan politik antara sebab atlit M'sia 'gagal' di pentas Sukan SEA di Kemboja, kata Menteri

Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Hannah Yeoh. (Gambar: Bernama)

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Hannah Yeoh mempertahankan kenyataannya bahawa ketidakstabilan politik negara tersebut sejak beberapa tahun ini memberi impak kepada “kegagalan” kontinjen negara itu di pentas Sukan SEA Kemboja 2023.

Cik Hannah berkata, keadaan itu menyebabkan 220 atlit tidak dapat meneruskan latihan kerana tiada peruntukan khas disediakan bagi program latihan senior bawah program podium.

Katanya, ketidakstabilan politik yang menyaksikan pertukaran tiga menteri juga menyebabkan berlaku perubahan bajet, fokus dan ahli lembaga pengarah, lapor agensi berita Free Malaysia Today.

“Dalam Bajet 2022 tidak dinyatakan peruntukan untuk program podium, menyebabkan Majlis Sukan Negara (MSN) terpaksa menyusun semula program persediaan atlet untuk temasya sukan utama seperti Sukan SEA Vietnam, Sukan Birmingham dan Sukan Asean.

“Pada masa sama, MSN terpaksa mengagih dan menggunakan peruntukan dalaman bagi memastikan elaun latihan atlet dan gaji jurulatih diteruskan tanpa penangguhan supaya prestasi atlet dalam latihan tidak terjejas,” katanya di Dewan Rakyat, lapor Free Malaysia Today.

Beliau menjawab soalan tambahan Encik Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang meminta Cik Hannah menjelaskan kenyataannya bahawa ketidakstabilan politik punca pencapaian buruk Sukan SEA di Kemboja 2023, sedangkan negara lain yang mengalami pergolakan politik mampu menunjukkan prestasi lebih baik.

Mengulas lanjut, Cik Hannah berkata punca dinyatakan itu diakui sendiri oleh atlet dan persatuan sukan kerana isu bajet boleh menjejaskan latihan mereka.

“Apabila ada elaun dan gaji tertangguh, ia akan beri kesan kepada latihan terutama jika ada yang perlu ke luar negara,” katanya, dipetik daripada laporan Free Malaysia Today.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan