Skip to main content

Dunia

Keterjaminan makanan di Gaza berisiko bertambah buruk

Anggaran Waktu Membaca:
Keterjaminan makanan di Gaza berisiko bertambah buruk

Kanak-kanak Palestin beratur di sebuah dapur kebajikan menjelang iftar pada bulan Ramadan, berhampiran runtuhan di kem pelarian Bureij di tengah Carikan Gaza pada 5 Mac, 2025. (Gambar Eyad BABA/AFP)

KANADA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu (5 Mac) memberi amaran mengenai situasi kemanusiaan yang semakin runcing di Gaza selepas semua pintu masuk kargo ditutup sekaligus menjejas penghantaran bantuan kemanusiaan dengan ketara, lapor Agensi Anadolu (AA).

“Rakan-rakan kemanusiaan kami memberi amaran bahawa penutupan semua pintu masuk kargo baru-baru ini menjejaskan kemajuan penting dalam menyampaikan bantuan penting kepada penduduk Gaza sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 19 Januari,” kata jurucakap PBB Stephane Dujarric dalam sidang akhbar. 

Memetik Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), Encik Dujarric turut menyuarakan kebimbangan bahawa keterjaminan makanan di Gaza berisiko semakin merosot.

“Sekiranya gangguan terhadap penghantaran bantuan berterusan, sekurang-kurangnya 80 dapur komuniti mungkin terpaksa menghentikan operasi mereka,” katanya. 

Encik Dujarric turut menegaskan bahawa sektor pendidikan di Gaza berdepan cabaran besar akibat sekatan akses yang menyebabkan kekurangan bekalan asas untuk persekolahan.

“Sebahagian pelajar dapat kembali ke sekolah yang sebelum ini dijadikan sebagai pusat perlindungan,” katanya. 

Beliau juga menarik perhatian kepada jurang kritikal dalam pembiayaan usaha bantuan kemanusiaan untuk wilayah Palestin.

“Lebih dua bulan dalam setahun, kami hanya memperoleh kurang empat peratus daripada AS$4 bilion (S$5.3 bilion) yang diperlukan untuk memenuhi keperluan kemanusiaan paling asas di wilayah Palestin yang diduduki khususnya di Gaza,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa “skala keperluan amat besar, begitu juga dengan kekurangan dana.” 

Israel pada Ahad (2 Mac) memutuskan untuk menghentikan penghantaran bantuan, beberapa jam selepas fasa pertama perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan antara Hamas dengan Israel berakhir.
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita