Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ketanji Brown Jackson hakim wanita kulit hitam pertama Mahkamah Agung AS

Anggaran Waktu Membaca:

WASHINGTON: Ketanji Brown Jackson disahkan oleh Senat pada Khamis (7 Apr) sebagai wanita kulit hitam pertama yang akan berkhidmat sebagai hakim Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS), sekali gus menandakan satu pencapaian bersejarah bagi AS dan Presiden Joe Biden, yang menunaikan janjinya semasa berkempen dalam Pilihan Raya Presiden untuk memperluaskan badan kehakiman di negara itu dengan melantik hakim daripada pelbagai latar belakang.

Tiga anggota Parti Republican, Susan Collins, Lisa Murkowski dan Mitt Romney adalah antara 53 anggota Senat yang menyokong pemilihan hakim mahkamah rayuan persekutuan yang berusia 51 tahun itu.

Cik Jackson akan mengambil alih kedudukan Stephen Breyer yang berusia 83 tahun. Breyer akan terus berkhidmat sehingga penggal semasa mahkamah berakir kelak - biasanya pada lewat Jun dan Cik Jackson akan mengangkat sumpah bagi jawatan hakim secara rasmi selepas itu. 

Awal dalam kerjayanya, Cik Jackson pernah bertugas sebagai pegawai Mahkamah Agung di bawah penyeliaan Encik Breyer. 

Presiden Biden mengundang Cik Jackson ke Rumah Putih untuk menyaksikan proses pengundian itu di kaca televisyen dan memuat naik gambar 'selfie' mereka berdua tersenyum ke laman Twitter sebaik saja Senat mengumumkan keputusan pengundian tersebut.

"Pemilihan Hakim Jackson merupakan satu detik bersejarah bagi negara kita. Kita telah mengambil satu lagi langkah ke arah mahkamah agung yang mencerminkan kepelbagaian Amerika. Beliau akan menjadi seorang hakim yang hebat dan saya berbesar hati dapat berkongsi detik bersejarah ini dengannya," menurut catatan Presiden Biden di Twitter. 

Kedua-dua Cik Jackson dan Presiden Biden akan menyampaikan ucapan di satu majlis yang bakal diadakan pada Jumaat (8 Apr) bagi mengesahkan keputusan pengundian tersebut, lapor Reuters.

Daripada 115 orang yang berkhidmat di Mahkamah Agung sejak ia ditubuhkan pada 1789, kesemuanya, kecuali tiga orang, berkulit putih. 

Mahkamah tersebut hanya mempunyai dua hakim lelaki kulit hitam: Clarence Thomas yang dilantik pada 1991 dan masih berkhidmat dan Thurgood Marshall yang bersara pada 1991 dan meninggal dunia pada 1993. 

Hakim Sonia Sotomayor adalah satu-satunya wanita Hispanik yang berkhidmat di mahkamah tersebut.

Sumber : Reuters/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan