Skip to main content

Dunia

Kesilapan pandu arah, faktor usang antara punca kapal KD Pendekar karam Ogos lalu

Anggaran Waktu Membaca:
Kesilapan pandu arah, faktor usang antara punca kapal KD Pendekar karam Ogos lalu

(Gambar fail: X/kay4kumar)

Diterbitkan : 29 Oct 2024 04:51PM Dikemas Kini : 29 Oct 2024 04:59PM
KUALA LUMPUR: Lembaga Siasatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mendapati faktor kesilapan pandu arah dan keusangan kapal menjadi punca yang menyebabkan Kapal Diraja (KD) Pendekar karam di perairan Tanjung Penyusop, Johor pada 25 Ogos lalu.

Markas TLDM dalam kenyataannya turut memaklumkan bahawa ia berdasarkan rekod laluan kapal tersebut yang tersasar dari laluan yang dirancang dan terlanggar Terumbu Punggai.

Selain itu, faktor keusangan kapal yang melebihi Dasar Kasting iaitu berusia 45 tahun telah menyukarkan kawalan kebanjiran disebabkan oleh kelemahan pada struktur badan kapal dan mempercepatkan kebanjiran merebak ke kompartmen lain.

"Usaha menyelamat dan mengapungkan KD Pendekar berjaya diselesaikan pada 15 Okt lalu oleh sebuah firma tempatan dan kapal berkenaan kini dalam proses pemeriksaan teknikal," menurut kenyataan tersebut.

Pada 25 Ogos lalu, KD Pendekar karam ketika menjalankan rondaan operasi dan insiden itu berlaku apabila kapal tersebut menghadapi gegaran kuat diikuti dengan kebanjiran besar semasa menghampiri kawasan pesisir pantai untuk melakukan pemeriksaan teknikal.

Kesemua 39 anak kapal berjaya dipindahkan dengan selamat ke kapal dagang MV Ashley tanpa sebarang kecederaan.

Dalam pada itu, lembaga siasatan tersebut juga mengesahkan kematian penyelam TLDM Laskar Kelas I PLM Arman San Hermansa semasa melakukan operasi bagi KD Pendekar disebabkan lemas.

"Keadaan di kawasan operasi yang arusnya tidak menentu dan memukul lumpur di dasar laut mengakibatkan jarak penglihatan menjadi sangat terhad iaitu sekitar 1 kaki (0.3 meter) pada hari kejadian.

"Keadaan ini meletakkan penyelam berada pada situasi berisiko tinggi dan tekanan kerja yang mencabar. Apabila tali keselamatan yang digunakan oleh penyelam didapati tersangkut pada kapal tersebut, langkah kecemasan yang dilakukan mangsa tidak berhasil seterusnya menyebabkan beliau lemas," menurut kenyataan itu.

Markas TLDM dalam kenyataan yang sama turut memaklumkan bahawa berdasarkan hasil siasatan, prosedur operasi standard (SOP) penyelaman dan langkah keselamatan telah dipatuhi sebelum tugasan penyelaman dimulakan, selain peralatan turut disahkan berfungsi dengan baik dan mangsa disahkan cekap untuk menjalankan tugas tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, TLDM memandang serius terhadap dapatan kedua-dua insiden, selain mengutamakan keselamatan dan kesiapsiagaan anggota dalam menjalankan tugas dengan sempurna mengikut garis panduan yang ditetapkan.
Sumber : Agensi berita/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita