Kesihatan Agong Malaysia "bertambah baik dengan ketara" selepas rawatan: PM Anwar
Kesihatan Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, bertambah baik dengan ketara selepas menerima rawatan di luar negara, menurut Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Yang di-Pertuan Agong Malaysia bertemu Perdana Menteri Anwar di Bahrain pada 19 Februari 2025. (Gambar: Facebook/Sultan Ibrahim Sultan Iskandar)
Encik Anwar, yang bertemu baginda yang berusia 66 tahun, sebanyak dua kali semasa lawatan rasminya ke Bahrain, turut mengesahkan pada Khamis (20 Feb) bahawa Sultan Ibrahim akan pulang ke Malaysia pada Jumaat.
"Syukur, rawatan konservatif awal nampaknya berkesan, walaupun keadaan Seri Paduka Baginda masih memerlukan pemantauan,” kata Encik Anwar dalam sidang media yang menandakan akhir lawatannya.
"Kesihatan Seri Paduka Baginda bertambah baik dengan ketara dan sebelum meneruskan rawatan lanjut, baginda telah memutuskan untuk pulang ke tanah air pada hari Jumaat. Dengan izin tuhan, rawatan akan diteruskan jika perlu," tambahnya.
Encik Anwar melawat Bahrain atas jemputan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Bahrain, Salman Hamad Al Khalifa.

Dalam pertemuan itu, Encik Anwar memaklumkan kepada Sultan Ibrahim mengenai perkembangan negara dan bertanya tentang kesihatannya, menurut kenyataan istana.
Dalam kenyataan berasingan pada Selasa, Istana Negara turut mengumumkan bahawa Sultan Ibrahim sudah menjalani “rawatan konservatif” di luar negara bagi merawat kesakitan muskuloskeletal dan dijangka kembali ke Malaysia pada Jumaat.
Kesakitan tersebut adalah akibat latihan ketenteraan intensif dan gaya hidup aktif beliau pada usia muda, "terutamanya daripada sukan polo", tambah kenyataan itu.
Pada 7 Februari, Istana Negara mengesahkan bahawa Sultan Ibrahim sudah berangkat ke luar negara bagi mendapatkan rawatan. Bagaimanapun, butiran mengenai lokasi dan jenis rawatan yang didapatkan tidak didedahkan.
Pada 2016, Sultan Ibrahim pernah menjalani prosedur angioplasti di Pusat Perubatan Gleneagles, Singapura, selepas mengadu sakit dada ketika bersenam, menurut laporan Bernama ketika itu.
Angioplasti adalah prosedur yang digunakan untuk membuka atau melebarkan arteri atau saluran koronari yang tersumbat.
Sementara itu, pihak media The Star melaporkan pada 2018 bahawa Sultan Ibrahim pernah menerima rawatan di Singapura bagi kecederaan lama pada bahunya akibat bermain polo.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.