Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kesesakan trafik menuju Johor dijangkakan 1 Apr; semua kaunter CIQ beroperasi sepenuhnya: Menteri Besar

Anggaran Waktu Membaca:
Kesesakan trafik menuju Johor dijangkakan 1 Apr; semua kaunter CIQ beroperasi sepenuhnya: Menteri Besar

Gambar: BERNAMA

Diterbitkan : 31 Mar 2022 07:36AM Dikemas Kini : 31 Mar 2022 08:07AM

ISKANDAR PUTERI: Hampir 400,000 orang dijangka menggunakan laluan darat antara Malaysia dan Singapura melalui Koswe Johor dan Linkedua, pada minggu pertama pembukaan semula sempadan negara bermula Jumaat ini (1 Apr).

Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi berkata kesemua kaunter di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) iaitu di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), dan Bangunan Sultan Iskandar di Johor Bahru akan beroperasi sepenuhnya, bagi mengelakkan berlakunya kesesakan.

“Ketika prapandemik, hampir 400,000 pengguna masuk dan keluar setiap hari, jadi 400,000 orang ini kita jangkakan untuk tujuh hari sekurang-kurangnya dari 1 hingga 7 April. Semua kaunter akan dibuka dan beroperasi 100 peratus di kedua-dua CIQ, mereka juga telah membuat segala persediaan tersebut.

“Jabatan Penerangan Johor juga akan menyediakan infografik yang akan dipaparkan di sosial media, supaya pelawat tahu apa prosedur operasi standard (SOP) dan keperluan, paling penting mereka perlu muat turun aplikasi MySejahtera sebelum masuk ke Malaysia,” katanya pada sidang media selepas meninjau ‘dry run’ pembukaan semula sempadan di Kompleks CIQ KSAB di Tanjung Kupang, pada Rabu (30 Mac).

Turut hadir Menteri Pengangkutan Dr Wee Ka Siong.

Onn Hafiz berkata hampir 2,700 pegawai dan anggota daripada pelbagai jabatan dan agensi termasuk Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Kesihatan Negeri, akan bertugas 24 jam di kedua-dua CIQ berkenaan mulai 1 April ini.

Beliau berkata Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut berkenan supaya 130 sukarelawan Southern Volunteers, ditempatkan di kedua-dua CIQ tersebut untuk membantu rakyat Malaysia dan pelawat sekali gus memudahkan urusan mereka nanti.

Berhubung pengecualian bayaran tol tujuh hari mulai Jumaat ini di kedua-dua CIQ itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, atas pengumuman berkenaan sekali gus mempertimbangkan dengan baik permohonan kerajaan negeri suarakan sebelum ini, selaras dengan pendekatan memudah cara perjalanan rentas sempadan dengan Singapura.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Menteri Kewangan Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof, kerana turut membantu selain kepada Menteri Pengangkutan yang bersetuju dengan permohonan kerajaan negeri untuk memberi pengecualian Caj Jalan sebanyak RM20 (S$6.40) bagi tempoh seminggu, iaitu bermula 1 hingga 7 April.

“Keputusan ini pastinya mampu melancarkan perkhidmatan dan aliran trafik semasa proses masuk ke Malaysia di kedua-dua CIQ, dan pemilik kenderaan tidak perlu berhenti untuk urusan bayaran dan menambah nilai kad Touch ‘n Go mereka untuk tempoh satu minggu,” katanya.

Sementara itu, Dr Wee berkata pengecualian bayaran tol tujuh hari mulai Jumaat ini di kedua-dua CIQ berkenaan, mampu meleraikan masalah kesesakan di kedua-dua pintu masuk sempadan darat, berikutan jumlah kenderaan yang dijangka bertambah terutamanya untuk menyambut awal Ramadan.

Beliau berkata setakat ini, sebanyak 191,263 kenderaan dari Singapura sudah mendaftar untuk memasang tag Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) pada kenderaan masing-masing, dan daripada jumlah itu, 65,263 pemilik sudah menerima tag tersebut.

Pada 25 Mac lepas, Perdana Menteri Malaysia dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, menerusi kenyataan bersama memaklumkan, kedua-dua negara bersetuju untuk membuka sepenuhnya sempadan darat bagi pelawat yang telah lengkap divaksin mulai 1 April, selaras dengan fasa peralihan ke endemik.

Malaysia dan Singapura juga akan membenarkan pelawat yang telah lengkap divaksin untuk merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian COVID-19, termasuk ujian prapelepasan dan semasa ketibaan.

Sumber : Bernama/SU/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan