Skip to main content

Dunia

Kesesakan pusat perlindungan tingkat risiko penularan Ebola di Congo

Anggaran Waktu Membaca:
Kesesakan pusat perlindungan tingkat risiko penularan Ebola di Congo

Kes Ebola dilaporkan di sekurang-kurangnya 16 pusat perlindungan yang menempatkan lebih 270,000 penduduk di wilayah Ituri, Republik Demokratik Congo. (Gambar: AP)

Diterbitkan : 21 Jul 2026 05:18PM
NEW YORK: Kesesakan serta akses terhad kepada perkhidmatan asas di pusat perlindungan penduduk yang kehilangan tempat tinggal meningkatkan risiko penularan Ebola di timur Republik Demokratik Congo (DR Congo), menurut amaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) memaklumkan, jangkitan kes Ebola dilaporkan di sekurang-kurangnya 16 pusat perlindungan yang menempatkan lebih 270,000 penduduk di wilayah Ituri, yang menjadi pusat penularan wabak itu.

OCHA menyatakan bahawa PBB bersama rakan-rakan kemanusiaannya sedang membantu masyarakat terjejas menerusi langkah pencegahan dan peningkatan kesedaran, termasuk menyediakan kemudahan mencuci tangan serta menjalankan program pendidikan mengenai pencegahan Ebola.

Pihak berkuasa kesihatan di Kinshasa pula memaklumkan jumlah kes Ebola yang disahkan di negara itu sudah meningkat kepada 2,423, termasuk 967 kematian.

Setakat 19 Julai, seramai 734 pesakit masih menjalani kuarantin atau menerima rawatan, manakala 469 lagi dilaporkan pulih sejak wabak itu diisytiharkan pada 15 Mei.

Wabak yang berpunca daripada virus Ebola Bundibugyo itu kini telah merebak ke lima wilayah.

Menurut pihak berkuasa, pergerakan penduduk, ancaman keselamatan, aktiviti pelombongan berskala kecil serta pergerakan rentas sempadan dengan Uganda dan Sudan Selatan terus menyumbang kepada penularan wabak tersebut.

Setakat 19 Julai, seramai 121 petugas kesihatan barisan hadapan di wilayah Ituri turut dijangkiti Ebola, dengan 36 kematian direkodkan.

Dalam pada itu, Republik Demokratik Congo dan Uganda menjalankan penilaian teknikal bersama terhadap sebuah makmal bergerak di Kasenyi, berhampiran sempadan kedua-dua negara, bagi memperkukuh usaha pemantauan rentas sempadan.
Sumber : Bernama/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita