'Kesesakan' di KLIA selepas majikan bergegas bawa masuk ribuan pekerja hijrahan sebelum tarikh akhir
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menyaksikan empat hingga sembilan kali ganda dalam jumlah kemasukan pekerja hijrahan, sedang para majikan bergegas untuk membawa mereka masuk ke negara itu sebelum tarikh akhir pada 31 Mei.
Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan pekerja hijrahan berkumpul di kawasan pintu gerbang dua terminal lapangan terbang itu, dengan ada yang sedang duduk dan terbaring di lantai.
Jabatan Imigresen Malaysia mendedahkan dalam satu kenyataan pada Khamis (30 Mei) bahawa sejak 22 Mei, 2,500 pekerja hijrahan tiba setiap hari, dengan jumlah itu meningkat antara 4,000 dengan 4,500 pada Isnin (27 Mei).
Ini berbanding 500 hingga 1,000 pekerja hijrahan yang tiba setiap hari sebelum ini, menurut jabatan itu.
Ia juga memberi amaran bahawa ia menjangkakan jumlah itu akan terus meningkat sehingga Jumaat (31 Mei), berdasarkan maklumat yang diterima daripada syarikat-syarikat penerbangan yang telah menambah khidmat penerbangan ke negara itu "bagi memenuhi permintaan".
Jabatan itu mengaitkan peningkatan itu dengan usaha saat-saat akhir oleh para majikan untuk membawa masuk pekerja hijrahan sebelum tarikh akhir pada Jumaat ini, di mana kerajaan negara mempercepatkan tarikh itu selaras dengan keputusan untuk membatalkan kuota majikan untuk pekerja hijrahan yang belum lagi memperolehi visa kemasukan dengan rujukan selepas 31 Mac.
Pada 8 Mac lalu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata ini akan membolehkan kerajaan untuk secara tepat menilai keperluan bagi tenaga kerja asing di negara itu, sebelum menimbangkan keperluan untuk menawarkan lebih banyak kuota bagi kemasukan lebih ramai pekerja hijrahan, lapor media tempatan.
Jabatan imigresen menyatakan pada Khamis bahawa semua pekerja hijrahan yang tiba di Malaysia perlu diperiksa dan menjalani pemeriksaan kesihatan di KLIA.
"Kami menggesa para majikan supaya memberi kerjasama dengan menghadirkan diri bagi proses imigresen untuk pekerja mereka, yang akan mengurangkan kesesakan di dewan ketibaan," tambahnya.
Jabatan itu menyatakan ia sedang bekerjasama dengan Malaysia Airports Holdings Bhd, yang menguruskan KLIA, untuk mengambil "langkah segera" bagi memastikan keselesaan para penumpang.
Ini termasuk menambah kaunter dan pegawai imigresen bagi mempercepatkan proses pengesahan dan penelitian dan menangani jumlah pengunjung yang ramai serta menyediakan bekalan makanan dan air bagi para pekerja hijrahan di lapangan terbang.
"Jabatan ini akan terus memantau dan memperbaiki situasi," jelasnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.