Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kesemua yang terperangkap dalam gua Thai berjaya dikeluarkan

Perkembangan ini sekaligus menandakan berakhirnya satu misi menyelamat yang amat mencabar dan berisiko tinggi di Thailand.

Anggaran Waktu Membaca:
Kesemua yang terperangkap dalam gua Thai berjaya dikeluarkan

Rakan-rakan sekolah berdoa setelah diberitahu kesemua 12 remaja diselamatkan. (Gambar: Reuters/Tyrone Siu)

Diterbitkan : 10 Jul 2018 11:56PM Dikemas Kini : 11 Jul 2018 12:04AM

BANGKOK: Kesemua mereka kini sudah selamat dikeluarkan. Ini setelah lima mangsa - empat pemain bola sepak pasukan "Mu Pa" (Wild Boars) dan jurulatih mereka berusia 25 tahun, Ekapol Chantawong - dibawa keluar dari gua Tham Lung di Chiang Rai yang dilanda banjir.

Perkembangan ini sekaligus menandakan berakhirnya satu misi menyelamat yang amat mencabar dan berisiko tinggi di Thailand.

Dalam operasi selama tiga hari itu, pasukan penyelamat dari pelbagai negara berjaya  mengeluarkan kesemua 13 mangsa yang terperangkap di dalam gua itu, dengan jurulatih mereka yang lebih mesra dengan penggilan “Ekk”, merupakan orang terakhir yang dibawa keluar.

“12 pemain pasukan Wild Boars dan jurulatih mereka keluar dari gua itu dalam keadaan selamat. Kini, kami menunggu kemunculan empat penyelam. Hooyah!” kata SEALTentera Laut  Diraja Thailand dalam catatan di laman Facebooknya ketika mengesahkan  berakhirnya misi penuh berisiko untuk membawa keluar remaja berkenaan dan jurulatih mereka.

Empat penyelam dimaksudkan, termasuk seorang doktor, adalah dari unit penyelam elit, yang ditempatkan bersama-sama mangsa untuk menjaga keselamatan mereka semasa terperangkap di dalam gua berkenaan.

Lima mangsa yang diselamatkan hari ini (10 Jul) dibawa ke Hospital Prachanukroh di Chiang Rai untuk menjalani pemeriksaan perubatan.

Terdahulu, bekas gabenor Chiang Rai, Narongsak Ossotanakorn, dalam taklimat hariannya kepada media hari ini (10 Jul), berkata para penyelamat memulakan ikhtiar terakhir mereka untuk menyelamat lima lagi mangsa yang masih berada di dalam gua itu pada sekitar 10.00 pagi (waktu tempatan) hari ini (10 Jul).

Dalam operasi nekad pada Ahad (8 Jul) dan semalam (9 Jul), para penyelamat berjaya membawa keluar lapan remaja lelaki yang terperangkap di dalam gua itu sejak 23 Jun. 

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan