Kesemua 67 mayat mangsa nahas udara Washington ditemui

Sebuah kren menarik keluar sebahagian ekor pesawat pada 4 Feb 2025 di Arlington, Virginia, semasa operasi mencari dijalankan berikutan nahas American Airlines. (Gambar: Getty Images menerusi AFP/Kayla Bartkowski)
Kesemua, kecuali satu mayat, telahpun dikenal pasti, menurut kenyataan daripada beberapa agensi pemerintah yang terlibat dalam operasi mencari itu susulan berlakunya nahas udara paling maut di Amerika sejak 20 tahun lalu.
Kenyataan tersebut menyifatkan kemas kini mengenai tamatnya usaha mencari mayat mangsa sebagai satu "langkah penting" bagi keluarga mangsa yang terkorban dalam nahas berkenaan minggu lalu.
"Ingatan kami bersama keluarga mangsa sedang mereka mengharungi kehilangan tragis ini," jelas kenyataan itu. "Kami menyampaikan ucapan takziah yang mendalam dan kekal komited untuk menyokong mereka melalui tempoh sukar ini."
Para kakitangan terus berusaha untuk mendapatkan semula bangkai pesawat penumpang - Bombardier CRJ-700 yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan American Eagle - dari perairan Potomac, yang sejuk.
Sejauh ini, kakitangan telah menemui sebilangan serpihan pesawat termasuk sayap kanan, sebahagian sayap kiri dan bahagian belakang kapal terbang, menurut Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB).
Usaha untuk mencari bangkai helikopter berkenaan akan bermula apabila tugas bagi pesawat berkenaan sudah selesai dijalankan, kata agensi bandar itu.
Seramai 60 penumpang dan empat anak kapal dalam pesawat itu terbunuh dalam nahas Rabu lalu, di samping tiga askar yang berada dalam helikopter Black Hawk Tentera Amerika.
Tiada siapa pun yang terselamat.
Pesawat berkenaan sedang dalam perjalanan dari Wichita, Kansas ke Lapangan Terbang Nasional Ronald Reagan apabila nahas tersebut berlaku.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.