Skip to main content

Dunia

Kesemua 50 daerah Bangkok diisytihar zon bencana susuli banjir; 52,000 isi rumah terjejas

Anggaran Waktu Membaca:
Kesemua 50 daerah Bangkok diisytihar zon bencana susuli banjir; 52,000 isi rumah terjejas

Jalan raya dinaiki air selepas hujan lebat di Bangkok, Thailand pada 26 September 2026. (Gambar: AP/Sakchai Lalit)

Diterbitkan : 27 Sep 2026 07:57AM

BANGKOK: Kesemua 50 daerah di Bangkok diisytiharkan sebagai zon bencana oleh Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) menyusuli hujan lebat berterusan yang menyebabkan banjir, gangguan lalu lintas serta menjejas kehidupan harian penduduk di ibu negara Thailand itu.

Gabenor Bangkok Chadchart Sittipunt berkata perisytiharan itu diperluas daripada tiga daerah yang sebelum ini ditetapkan sebagai kawasan terjejas bencana kepada kesemua 50 daerah, bagi membolehkan agensi kerajaan, pertubuhan serta badan pentadbiran tempatan berkaitan melaksanakan tugas dengan pantas dan sistematik.

“Peluasan perisytiharan itu dibuat menyusuli hujan lebat berterusan yang mengakibatkan banjir, kesesakan lalu lintas serta gangguan terhadap kehidupan harian penduduk Bangkok.

“Keadaan itu berpotensi mengancam nyawa, keselamatan serta harta benda awam dan kerajaan, justeru peluasan pengisytiharan meliputi kesemua 50 daerah dianggap perlu bagi memastikan pengurusan bencana yang berkesan dan operasi tindak balas dapat dilaksanakan dengan segera,” katanya dalam kenyataan beliau pada Sabtu.

Encik Chadchart turut menggesa orang ramai supaya duduk di rumah kecuali jika perlu melakukan perjalanan memandangkan beberapa jalan utama masih dinaiki air dengan teruk.

Beliau memberi jaminan bahawa semua petugas sedang bekerja pada kapasiti penuh untuk mengalirkan keluar air banjir dan memulihkan keadaan seperti biasa secepat mungkin.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Leftenan Jeneral Adul Boonthamcharoen berkata unit tentera di seluruh negara sudah diarahkan menggerakkan sepenuhnya keupayaan masing-masing bagi membantu penduduk yang terjejas akibat hujan lebat dan banjir.

Hujan berterusan sejak pagi Jumaat menyebabkan banjir di Bangkok dan 20 wilayah lain termasuk Nakhon Ratchasima, Chanthaburi, Phetchabun, Chon Buri, Chachoengsao, Buri Ram, Surin, Sing Buri, Samut Prakan, Nakhon Sawan, Phichit, Rayong, Ang Thong, Chai Nat, Uthai Thani, Prachin Buri, Phra Nakhon Si Ayutthaya, Sa Kaeo, Phitsanulok, Suphan Buri dan Nakhon Phanom.

Media Thailand melaporkan pembelian panik mula berlaku di beberapa kawasan kejiranan apabila penduduk membeli bekalan keperluan asas sebagai persediaan berikutan kebimbangan keadaan banjir mungkin bertambah buruk.

52,000 ISI RUMAH TERJEJAS

Dalam pada itu, banjir yang melanda kesemua daerah di Bangkok menjejas kira-kira 52,000 isi rumah dan memaksa kira-kira 4,200 penduduk berpindah ke pusat perlindungan sementara.

Encik Chadchart berkata jumlah hujan terkumpul di ibu negara itu melebihi 300 milimeter sejak pukul 4.00 petang Khamis, menghasilkan kira-kira 223 juta meter padu air.

Beliau berkata beberapa terusan utama telah mencapai kapasiti maksimum, dengan sebahagiannya melimpah dan menjejas masyarakat serta laluan pengangkutan di kawasan sekitar.
Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) menyelaras dengan Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana (DDPM), unit tentera serta agensi lain untuk mengerahkan kenderaan yang sesuai meredah banjir, bot dan petugas ke kawasan yang dilanda banjir atau sukar diakses.

Beliau berkata BMA menyediakan 233 pusat perlindungan sementara dengan kapasiti keseluruhan kira-kira 15,000 orang, manakala hampir 40 pesakit terlantar telah dipindahkan ke hospital.

Sekolah digunakan sebagai pusat perlindungan sementara utama, manakala 69 pusat kesihatan awam dan 13 hospital di bawah BMA berada dalam keadaan siap siaga untuk memberikan bantuan perubatan, khususnya kepada pesakit terlantar dan kumpulan rentan lain.

Sekolah perbandaran di bawah BMA yang sedang mengadakan peperiksaan akan ditutup pada Isnin bagi mengurangkan kesukaran perjalanan ibu bapa, pelajar dan guru ketika usaha menangani banjir diteruskan.

Sementara itu, Lapangan Terbang Suvarnabhumi memaklumkan banjir di kawasan sekitar tidak menjejas operasi atau perkhidmatannya, dengan penerbangan ketibaan dan keberangkatan terus beroperasi seperti biasa.

“Bagi penumpang yang dalam perjalanan ke dan dari lapangan terbang, laluan akses utama masih dibuka dan boleh dilalui. Penumpang dinasihatkan supaya memperuntukkan masa perjalanan tambahan ketika menuju ke lapangan terbang,” menurut Jabatan Hal Ehwal Khas dan Perhubungan Masyarakat lapangan terbang itu.

Penumpang antarabangsa dinasihatkan tiba sekurang-kurangnya tiga jam sebelum waktu keberangkatan yang dijadualkan, manakala penumpang domestik sekurang-kurangnya dua jam lebih awal bagi memastikan masa mencukupi untuk urusan daftar masuk dan pemeriksaan keselamatan.

Jabatan Meteorologi Thailand meramalkan hujan lebat hingga sangat lebat di beberapa kawasan di negara itu termasuk Bangkok dan wilayah sekitarnya sehingga 27 September, dengan amaran mengenai kemungkinan berlaku banjir kilat dan air bertakung di kawasan berisiko.

Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita