Kesemua 27 pusat pengundian PRK Tanjung Piai ditutup tepat 5.30 petang
Kesemua 27 pusat pengundian melibatkan 125 saluran bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai ditutup tepat jam 5.30 petang tadi sejak ia mula dibuka pukul 8.00 pagi hari ini (16 Nov).
Salah satu daripada 27 pusat pengundian bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai yang diadakan pada 16 Nov 2019. (Gambar: BERNAMA)
PONTIAN: Kesemua 27 pusat pengundian melibatkan 125 saluran bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai ditutup tepat jam 5.30 petang tadi sejak ia mula dibuka pukul 8.00 pagi hari ini (16 Nov).
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), peratusan keluar mengundi setakat jam 4.00 petang sahaja ialah 70 peratus, yang merupakan sasaran SPR sehingga tamat proses pengundian hari ini.
Sejurus selepas pusat pengundian ditutup, kesemua peti undi daripada 125 saluran tersebut dibawa ke pusat penjumlahan undi di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian, dan keputusan dijangka diumumkan pada pukul 10.00 malam.
PRK itu menyaksikan pertandingan enam penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini, calon Barisan Nasional (BN) Dr Wee Jeck Seng, calon Gerakan Wendy Subramaniam, calon Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) Dr Badhrulhisham Abdul Aziz serta dua calon Bebas Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar.
Parlimen Tanjung Piai mempunyai 52,471 pengundi biasa.
Selasa lalu (12 Nov), 91 peratus daripada 280 pengundi awal - terdiri daripada anggota dan pegawai polis - sudahpun melaksanakan tanggungjawab masing-masing di Bangunan Perkep, Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian.
PRK Parlimen Tanjung Piai, yang merupakan PRK kesembilan selepas Pilihan Raya Umum ke-14, diadakan selepas kematian Dr Md Farid Md Rafik daripada PH.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.