Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kesemua 260 pusat pengundian awal bagi PRN ditutup

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Kesemua 260 pusat mengundi awal yang mengandungi 377 tempat mengundi atau saluran awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri ditutup pada 5.00 petang pada Rabu (8 Ogos).

Turut ditutup adalah tiga pusat mengundi awal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu yang diadakan serentak.

Semua pusat pengundian awal di enam negeri termasuk di IPK Terengganu itu ditutup secara berperingkat seawal pukul 12.00 tengah hari mengikut kedudukan kawasan pusat mengundi.

Di IPK Terengganu, pusat pengundian awal pertama ditutup adalah bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk pada pukul 12.00 tengah hari, diikuti DUN Bandar pada pukul 2.00 petang dan yang terakhir DUN Ladang pada pukul 5.00 petang, manakala tiada pusat pengundian awal bagi DUN Wakaf Mempelam.

Sebelum ini, semua pusat pengundian awal PRN dibuka pada pukul 8.00 pagi pada Rabu bagi memberi ruang kepada 97,388 pengundi awal terdiri daripada 49,660 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan 47,728 anggota polis bersama pasangan masing-masing menunaikan tanggungjawab mereka selaku pengundi awal.

Pusat pengundian di IPK Terengganu juga dibuka pada waktu yang sama bagi memberi laluan kepada 1,362 anggota polis dan 35 anggota tentera bersama pasangan memilih calon untuk mewakili mereka di Parlimen Kuala Terengganu, yang merupakan PRK pertama diadakan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRK15).

Menurut laman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Daftar Pemilih Pilihan Raya yang digunakan untuk PRN dan PRK Kuala Terengganu adalah daftar pemilih terkini yang dikemaskini hingga 21 Jun 2023.

SPR menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian awal bagi PRN di enam negeri serta PRK Kuala Terengganu masing-masing pada 29 Julai dan 8 Ogos, manakala hari pengundian pada 12 Ogos ini dengan tempoh berkempen selama 14 hari bermula hari penamaan calon hingga pukul 11.59 malam, 11 Ogos.

PRN tersebut melibatkan 36 kerusi DUN di Kedah; Kelantan (45); Terengganu (32); Pulau Pinang (40) Selangor (56) serta 36 DUN di Negeri Sembilan.

PRK Parlimen Kuala Terengganu diadakan menyusuli keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 27 Jun membatalkan kemenangan calon PAS Ahmad Amzad Hashim pada PRU15 selepas mendapati berlaku perbuatan rasuah.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan