Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kesatuan Eropah sokong waran tangkap ICC terhadap Netanyahu, Gallant, pemimpin Hamas Deif

Anggaran Waktu Membaca:
Kesatuan Eropah sokong waran tangkap ICC terhadap Netanyahu, Gallant, pemimpin Hamas Deif

Bendera-bendera Kesatuan Eropah (EU) berkibar-kibar di luar ibu pejabat Suruhanjaya EU di Brussels, Belgium. (Gambar: REUTERS/Francois Lenoir)

Diterbitkan : 22 Nov 2024 05:54PM Dikemas Kini : 22 Nov 2024 05:58PM
BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) dan Belanda menyuarakan sokongan terhadap waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, serta mantan menteri pertahanannya Toav Gallant serta seorang komander tentera Hamas.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis (21 Nov), ICC menyatakan pihaknya sudah mendapat asas yang munasabah untuk mempercayai bahawa Netanyahu dan Gallant melakukan "jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah perang" antara sekurang-kurangnya 8 Okt 2023 hingga 20 Mei 2024, tarikh apabila pihak pendakwaan mengemukakan permohonan waran tangkap.

ICC juga mengeluarkan waran tangkap terhadap Mohammed Deif, komander sayap tentera Hamas, menuduhnya melakukan jenayah perang dan jenayah kemanusiaan di wilayah Israel dan Palestin mulai sekurang-kurangnya 7 Oktober tahun lalu. Israel mengumumkan bahawa ia membunuh Deif dalam serangan udarapada Julai di Gaza.

Keputusan ICC itu mewakili harapan dan keyakinan terhadap undang-undang antarabangsa serta institusinya, namun memerlukan negara yang mengiktiraf ICC untuk memutuskan 'hubungan dan pertemuan' dengan Netanyahu atau Gallant.

Sehubungan itu, pemimpin dunia berbelah bahagi berhubung isu pengeluaran waran tangkap ICC terhadap Netanyahu, dengan Israel dan sekutunya menolak sama sekali keputusan mahmakah itu.

Wakil Tinggi EU untuk Hal Ehwal Luar Negeri dan Dasar Keselamatan, Josep Borrell, menyiarkan di platform media sosial X pada Khamis bahawa waran tangkap untuk Netanyahu, Gallant dan Deif mesti dihormati dan dilaksanakan semua 124 negara yang merupakan negara di bawah Statut Rom ICC, termasuk semua negara anggota EU.

Bercakap pada sidang media pada hari yang sama, Encik Borrell berkata bahawa keputusan ICC bukan berunsur politik tetapi telah dibuat oleh mahkamah keadilan dan mesti dihormati.

Menteri Luar Belanda Caspar Veldkamp berkata bahawa Belanda menyokong waran itu dan akan "100 peratus" melaksanakan Statut Rom.

Menteri Luar Norway, Espen Barth Eide, berkata adalah penting bagi ICC melaksanakan mandatnya dengan cara yang bijaksana dan beliau yakin mahkamah akan meneruskan kes itu berdasarkan standard perbicaraan adil yang tertinggi.

Menteri Luar Sweden, Maria Malmer Stenergard, berkata negaranya 'menyokong kerja penting mahkamah serta melindungi kebebasan dan integritinya'.

"Pihak berkuasa penguatkuasaan undang-undang Sweden akan menentukan penahanan individu yang dikenakan waran ICC di wilayah Sweden," katanya.

Menteri Pertahanan Itali, Guido Crosetto, berkata negaranya terikat untuk menangkap Netanyahu sekiranya melawat Itali, walaupun beliau mengkritik keputusan ICC.

Austria turut menyatakan perkara yang sama, walaupun Menteri Luar, Alexander Schallenberg, menyifatkan waran ICC itu sebagai tidak masuk akal.

Sepanyol menegaskan akan mematuhi keputusan ICC mengikut undang-undang antarabangsa dan Belgium, Belanda, Switzerland serta Ireland menyatakan sokongan penuh terhadap ICC.

Mereka juga berjanji akan memenuhi komitmen dan kewajipan berkenaan Statut Rom serta Undang-Undang Antarabangsa, bagi memastikan semua pihak bertanggungjawab dari segi undang-undang dalam jenayah perang di Israel dan Gaza dihadapkan ke mahkamah.

Kementerian Luar Perancis menyatakan bahawa tindakannya terhadap waran itu akan selaras dengan statut ICC, tetapi enggan mengesahkan sama ada ia akan menahan Netanyahu, atas alasan kerumitan undang-undang.

Dalam kenyataan Khamis, ICC menyatakan bahawa terdapat "alasan munasabah" untuk mempercayai bahawa Netanyahu dan Gallant "masing-masing memikul tanggungjawab jenayah sebagai pelaku bersama" kerana melakukan jenayah perang kebuluran sebagai kaedah peperangan, serta jenayah terhadap kemanusiaan iaitu pembunuhan, penganiayaan, dan tindakan tidak berperikemanusiaan lain.

Kenyataan mahkamah itu menggariskan lagi beberapa siri jenayah perang yang didakwa dilakukan, termasuk "sengaja mengarahkan serangan terhadap penduduk awam," dan memastikan "penduduk awam di Gaza tidak terima barangan yang sangat diperlukan untuk kelangsungan hidup mereka, termasuk makanan, air, dan ubat-ubatan serta bekalan perubatan, serta bahan api dan elektrik."

Meskipun Deif dilaporkan telah dibunuh oleh tentera Israel, ICC menyatakan bahawa ia tidak dapat mengesahkan kematiannya secara konklusif. Pendakwaraya Karim Khan memaklumkan mahkamah bahawa maklumat yang tersedia daripada sumber Israel dan Palestin mengenai kematiannya masih tidak dapat dipastikan, menjadikan waran tangkap aktif.

Kedua-dua Israel dan Hamas menafikan dakwaan ICC mengenai jenayah terhadap kemanusiaan.

Waran tangkap bermakna jika mereka pergi ke salah satu daripada 124 negara yang menandatangani Statut Rom, mereka boleh ditahan.

Setiausaha Agung Amnesty International dan Sokongan Global, Agnes Callamard, berkata bahawa Netanyahu kini menjadi 'individu yang dikehendaki' dan menggesa masyarakat antarabangsa untuk memastikan mereka yang terlibat dibawa ke muka pengadilan.

Afrika Selatan, yang menuduh Israel melakukan genosid di Gaza kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), menyambut baik keputusan ICC.

"Tindakan ini menandakan langkah penting ke arah keadilan bagi jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah perang di Palestin," katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau berkata, adalah sangat penting untuk semua pihak mematuhi undang-undang antarabangsa, sambil menambah bahawa negaranya akan mematuhi keputusan mahkamah antarabangsa itu.

Menteri Luar Jordan, Ayman Safadi, berkata keputusan ICC harus dihormati dan dilaksanakan, sambil menambah bahawa 'rakyat Palestin berhak mendapat keadilan'.

Menteri Luar Turki, Hakan Fidan, menyifatkan waran tangkap ICC sebagai langkah 'memberi harapan' dan amat penting untuk membawa pihak berkuasa Israel yang melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin ke muka pengadilan.

"Kami akan terus bekerja untuk memastikan undang-undang antarabangsa dilaksanakan bagi menghukum jenayah genosid," tambah Fidan.
Sumber : AGENCIES/SU/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan