Kesan tengok video lucah - budak lelaki 12 tahun rogol kanak-kanak 4 tahun
Gara-gara terpengaruh dengan video yang dilihat melalui telefon bimbit, seorang murid lelaki Tahun Enam merogol seorang kanak-kanak perempuan yang diasuh ibunya di sebuah rumah di Taman Sri Wangsa.
(Gambar: Unsplash/Laura Fuhrman)
BATU GAJAH: Gara-gara terpengaruh dengan video yang dilihat melalui telefon bimbit, seorang murid lelaki Tahun Enam merogol seorang kanak-kanak perempuan yang diasuh ibunya di sebuah rumah di Taman Sri Wangsa.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, ACP Ahmad Adnan Basri berkata kejadian itu disedari selepas mangsa yang berusia empat tahun mengadu sakit di bahagian kemaluan kepada ibunya Khamis lalu sebelum dibawa ke Klinik Tanjung Tualang untuk pemeriksaan, pada keesokan hari.
Katanya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesan koyakan pada pelbagai posisi sehingga menyebabkan selaput dara mangsa pecah.
"Doktor menyuruh ibu mangsa membuat aduan polis dan selepas itu berjumpa dengan pengasuh dan suspek yang merupakan anak sulung kepada pengasuh.
"Suspek mengaku melakukan perkara tersebut. Kejadian berlaku sebanyak tiga kali iaitu sejak Mei lalu dan tidak disedari ibu bapa suspek," katanya dalam kenyataan, hari ini (2 Jul).
Perbuatan itu dipercayai berlaku akibat melihat video lucah di telefon bimbit.
ACP Ahmad Adnan berkata suspek direman bermula hari ini sehingga 5 Julai dan kes disiasat di bawah Kanun Keseksaan kerana merogol gadis di bawah umur.
Sehubungan itu, beliau meminta ibu bapa supaya berhati-hati ketika membenarkan anak-anak mereka melayari internet terutama di dalam telefon bimbit kerana ia boleh mendatangkan kesan yang buruk.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.