Skip to main content

Dunia

Kesan sampingan dos ke-3 vaksin Pfizer COVID-19 serupa dengan yang ke-2, menurut tinjauan

Kebanyakan orang yang menerima dos ketiga vaksin Pfizer COVID-19 merasakan kesan sampingan yang serupa atau kurang sedikit berbanding yang mereka alami setelah menerima suntikan kedua, menurut satu tinjauan awal di Israel.

Anggaran Waktu Membaca:
Kesan sampingan dos ke-3 vaksin Pfizer COVID-19 serupa dengan yang ke-2, menurut tinjauan

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 09 Aug 2021 10:01AM Dikemas Kini : 09 Aug 2021 10:08AM

BAITULMAKDIS: Kebanyakan orang yang menerima dos ketiga vaksin Pfizer COVID-19 merasakan kesan sampingan yang serupa atau kurang sedikit berbanding yang mereka alami setelah menerima suntikan kedua, menurut tinjauan awal di Israel.

Israel mula menawarkan suntikan rangsangan sekitar 10 hari yang lalu kepada mereka yang berusia lebih 60 tahun sebagai sebahagian daripada usaha untuk memperlahankan penularan varian Delta yang sangat mudah berjangkit. Ia sekaligus menjadikan Israel sebagai tapak ujian bagi dos ketiga sebelum diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika Syarikat.

Penyedia terbesar jagaan kesihatan Israel, Clalit, menyatakan pada Ahad (8 Ogos) bahawa ia sudah memberikan dos ketiga vaksin Pfizer-BioNTech kepada lebih 240,000 orang.

Sekitar 4,500 orang, yang kesemuanya mendapatkan suntikan rangsangan antara 30 Julai dengan 1 Ogos, menjawab soalan dan disertakan dalam tinjauan tersebut.

Seramai 88 peratus peserta dalam tinjauan itu berkata bahawa dalam tempoh beberapa hari setelah menerima suntikan ketiga, mereka merasa "sama atau lebih baik" berbanding yang mereka rasakan setelah suntikan kedua.

Sebanyak 31 peratus melaporkan beberapa kesan sampingan, yang paling lazim adalah rasa sakit di tempat suntikan. Sekitar 0.4 peratus berkata mereka mengalami sesak nafas dan satu peratus berkata mereka mendapatkan rawatan perubatan disebabkan satu atau lebih kesan sampingan.

Ran Balicer, ketua pegawai inovasi Clalit, berkata walaupun hasilnya "awal dan dilaporkan sendiri", mereka membolehkan perbandingan kesan sampingan dengan dos kedua, dan "ternyata dalam kebanyakan kes, kesan-kesannya adalah sama atau kurang semasa suntikan rangsangan".

"Walaupun kita belum mempunyai penyelidikan jangka panjang mengenai keberkesanan dan keselamatan dos rangsangan ketiga, sebagai pengurusan risiko peribadi mana-mana individu berusia 60 tahun ke atas, dapatan ini terus menunjukkan manfaat imunisasi sekarang, bersama dengan langkah berjaga-jaga dalam kalangan orang dewasa dan mengelakkan perhimpunan di tempat tertutup," kata Encik Balicer.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita