Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kesan inflasi terasa, peniaga bahan mentah di M'sia jual sekadar balik modal

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Kesan inflasi selain masalah logistik dan kekurangan bekalan dipercayai penyebab berlakunya peningkatan harga barangan mentah di pasaran, lapor Harian Metro. 

Sewaktu tinjauan Harian Metro di Pasar Chow Kit di Kuala Lumpur pada Khamis (30 Jun), peniaga yang ditemui mengeluh tentang peningkatan harga barangan mentah dan terpaksa bertahan dengan keuntungan yang tidak seberapa.

Peniaga sayur, Suhaimi Mohd Ali, 50 tahun, yang sudah berniaga sejak empat tahun lalu, berkata sebilangan besar barang mentah yang diambil daripada pembekal meningkat 20 peratus sejak sebelum Aidilfitri.

"Harga ditawarkan pembekal tidak menentu, kadang naik kadang turun. Biasanya perbezaan dalam 20 peratus dan selalunya pembekal akan menaikkan harga terutama pada hujung minggu kerana permintaan tinggi selain pada musim perayaan.

"Contohnya, harga semasa cili api ialah RM15 (S$4.71) sekilogram berbanding RM12 (S$3.77) sebelum raya, manakala timun naik RM1 (S$0.31) berbanding dulu hanya RM4 (S$1.26) untuk sekilogram.

"Ada juga sayur macam kacang panjang naik dua kali ganda, biasa hanya RM7 (S$2.20) kini harganya mencecah RM14 (S$4.40) sekilogram," katanya, seperti dinukil Harian Metro. 

Encik Suhaimi mendakwa kekurangan bekalan dan masalah logistik selain kesan inflasi antara faktor yang mempengaruhi kenaikan harga barangan mentah. 

"Selalu dengar pembekal cakap pengeluaran kurang, terutama sayur dari Thailand selain masalah penghantaran dan mungkin juga kesan inflasi. Kita pula jual ikut apa kita dapat. Kalau harga pembekal naik, kita terpaksa juga naikkan sedikit harga kepada pembeli.

"Itu belum lagi isu mutu sayur ikut nasib. Contoh cili besar kalau kita beli 20 kilogram dengan pembekal pasti dalam dua hingga lima peratus akan dibuang kerana tidak elok atau busuk," katanya kepada Harian Metro. 

Peniaga rempah ratus dan bawang, Ana, 44 tahun, pula berkata beliau terpaksa mengenakan harga sekadar untuk 'balik modal' sahaja bagi memastikan pelanggan tidak terlalu terbeban dengan kenaikan.

"Saya perasan harga makin ketara naik sejak dua hari lalu apabila saya perlu membayar RM55 (S$17.28) untuk empat kilogram bawang siam berbanding RM35 (S$11) sebelum ini, begitu juga dengan bawang holand yang dulu RM28 (S$8.80) kini capai RM34 (S$10.68). 

"Tetapi saya masih kekalkan harga lama iaitu RM6 (S$1.89) untuk sekilogram bawang siam manakala RM5 (S$1.57) sekilogram bawang holand.

"Mungkin akan terus berlaku peningkatan harga lagi selepas ini tetapi buat masa ini, saya hanya jual seadanya dengan untung sekadar 20 ke 30 sen sahaja satu barang," katanya.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan