Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kesan COVID-19 mungkin dorong jutaan lagi perkahwinan kanak-kanak - UNICEF

Kesan COVID-19 ke atas wanita di beberapa negara boleh menyebabkan tambahan 10 juta perkahwinan kanak-kanak pada dekad ini, menurut kajian baru yang dikeluarkan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF)pada Isnin (8 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Kesan COVID-19 mungkin dorong jutaan lagi perkahwinan kanak-kanak - UNICEF

Seorang kanak-kanak perempuan di Afghanistan (Gambar fail: AFP/Wakil Kohsar)

Diterbitkan : 08 Mar 2021 01:30PM Dikemas Kini : 08 Mar 2021 01:37PM

WASHINGTON: Kesan COVID-19 ke atas wanita di beberapa negara boleh menyebabkan tambahan 10 juta perkahwinan kanak-kanak pada dekad ini, menurut kajian baru yang dikeluarkan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF)pada Isnin (8 Mac).

"Penutupan sekolah, tekanan ekonomi, gangguan perkhidmatan, kehamilan dan kematian ibu bapa akibat pandemik menyebabkan kanak-kanak perempuan paling rentan dan berisiko terjebak dalam perkahwinan kanak-kanak," menurut kajian bertajuk COVID-19: Ancaman terhadap Kemajuan Atasi Perkahwinan Kanak-kanak.'

Trend itu, jika disahkan, akan membawa kemunduran serius dari segi kemajuan yang dicapai sejak beberapa tahun kebelakangan ini dalam usaha membanteras perkahwinan kanak-kanak.

Menurut kajian itu, dalam 10 tahun terakhir, peratusan kanak-kanak perempuan di dunia yang berkahwin merosot 15 peratus, iaitu dari satu daripada empat, kepada satu daripada lima.

Kemajuan itu "kini terancam", kata kajian yang dikeluarkan pada Hari Wanita Antarabangsa.

"COVID-19 menyebabkan keadaan yang lebih sukar bagi jutaan gadis seluruh dunia," kata pengarah eksekutif UNICEF Henrietta Fore.

"Sekolah yang ditutup, pengasingan daripada teman dan jaringan sokongan serta kemiskinan yang meningkat menambah lagi beban kepada dunia untuk menanganinya."

Kanak-kanak perempuan yang berkahwin pada usia terlalu muda, menurut laporan itu, lebih cenderung mengalami keganasan rumah tangga dan tidak bersekolah.

Mereka juga didapati menghadapi risiko kehamilan tidak dirancang yang lebih tinggi serta komplikasi dan kematian ketika melahirkan anak.

Selain itu, pengasingan daripada keluarga dan rakan-rakan boleh menyebabkan "kesihatan mental lebih teruk."

Sementara itu, sekatan perjalanan yang berkaitan dengan pandemik dan jarak fizikal menjadikan kanak-kanak perempuan "semakin sukar untuk mengakses penjagaan kesihatan, perkhidmatan sosial dan sokongan masyarakat yang melindungi mereka daripada perkahwinan kanak-kanak, kehamilan yang tidak diingini dan kekerasan dan menyebabkan mereka berhenti sekolah.

Kajian itu juga mendapati, keluarga yang menghadapi kesulitan ekonomi akan berusaha mengahwinkan anak perempuan mereka untuk meringankan beban kewangan.

Laporan itu menganggarkan bahawa 650 juta wanita dan kanak-kanak perempuan berkahwin pada usia kanak-kanak, dengan sekitar separuh daripadanya di Bangladesh, Brazil, Habsyah, India atau Nigeria.

Pengarah eksekutif UNICEF Henrietta Fore meminta negara-negara supaya membuka semula sekolah, melaksanakan reformasi undang-undang, memastikan akses kepada perkhidmatan kesihatan dan sosial sambil menyediakan langkah-langkah untuk melindungi keluarga. 

Sumber : AFP/TQ/SU/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan