Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kesalinghubungan Johor-SG penting untuk tarik pembeli rumah SG, kata pakar

Anggaran Waktu Membaca:
PETALING JAYA: Johor mesti menambah baik rangkaian pengangkutannya jika mahu menarik pembeli rumah dari Singapura.

Ini berikutan langkah Singapura menggandakan kadar cukai hartanah yang dijual kepada warga asing, kata seorang pakar pengangkutan.

Pensyarah kejuruteraan pengangkutan Universiti Sains Malaysia, Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, walaupun Laluan Sistem Gerak Cepat (RTS) Johor Bahru-Singapura sepanjang empat kilometer mungkin mengurangkan kesesakan pengangkutan rentas sempadan, rangkaian pengangkutan awam yang kukuh diperlukan di Johor, lapor FreeMalaysiaToday.

Beliau berkata, perkara itu penting kerana ia akan melengkapi rangkaian pengangkutan rentas sempadan dan menjadikan perjalanan harian lebih lancar.

“Kita perlu membina rangkaian tempatan (di Johor), sama ada melalui sistem rel berhierarki lebih rendah seperti monorel, bas transit pantas, atau sebarang bentuk perkhidmatan bas untuk menghubungkan orang ramai dan menyediakan sambungan batu pertama dan terakhir,” katanya kepada FreeMalaysiaToday.

“RTS adalah permulaan yang baik, tetapi saya rasa kita perlu buat lebih daripada itu kerana kawasan yang diliputi (RTS) agak kecil, jadi ia tidak dapat memberikan perkhidmatan kepada majoriti penduduk yang perlu berulang-alik dari Johor Bahru ke Singapura.”

Bulan lalu, Singapura menggandakan kadar cukai hartanah yang dijual kepada warga asing kepada 60 peratus, walaupun kadar sewa di negara itu melonjak.

Bagaimanapun, beberapa pakar hartanah memberitahu FreeMalaysiaToday Business, jangkaan lonjakan permintaan hartanah di Johor, terutamanya dalam segmen mewah, masih belum menjadi kenyataan.

Encik Farhan berkata, orang ramai, termasuk warga asing, lebih suka membeli hartanah berhampiran hab atau pusat pengangkutan.

“Sebagai contoh, di Lembah Klang, pemaju mengiklankan fakta bahawa sesuatu hartanah berada berdekatan dengan stesen LRT dan MRT (sebagai kelebihan); jadi akses kepada pengangkutan menjadi nilai tambah,” katanya.

PENGANGKUTAN RENTAS SEMPADAN MASIH PENTING

Perunding pengangkutan Wan Agyl Wan Hassan berkata, pengangkutan rentas sempadan masih perlu disediakan sebagai insentif untuk orang ramai menetap di Johor sementara bekerja di Singapura, seperti dipetik laporan FreeMalaysiaToday.

Memandangkan Pautan RTS hanya akan beroperasi pada 2026, Encik Wan Agyl berkata, perkhidmatan bas ulang-alik boleh dilaksanakan sementra itu untuk memenuhi keperluan mereka yang berulang-alik dari Singapura ke Johor Bahru.

“Mungkin kita juga perlu meneroka keperluan lorong keutamaan untuk perkhidmatan bas ulang-alik sebegitu supaya ia tidak terperangkap dalam kesesakan, terutamanya di sempadan,” katanya.

Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan