Skip to main content

Dunia

Kes wanita pakai ihram di Makkah diselesaikan di luar mahkamah, sedang jalani kaunseling

Anggaran Waktu Membaca:
Kes wanita pakai ihram di Makkah diselesaikan di luar mahkamah, sedang jalani kaunseling

(Gambar: Petikan skrin dari video media sosial)

Diterbitkan : 28 Sep 2022 10:25PM

IPOH: Kes wanita yang tular di media sosial kerana memakai ihram seperti lelaki di Makkah sudah selesai secara baik melalui penyelesaian luar mahkamah sejak hampir sebulan lalu, lapor Harian Metro. 

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Mohd Yusop Husin berkata wanita berperwatakan lelaki atau 'pengkid' berkenaan tampil bersama ibu bapanya di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Perak Tengah, Seri Iskandar dan menjalani sesi kaunseling.

"Kes sudah selesai hampir sebulan lalu selepas pihak kita mengambil keterangan serta semua maklumat berkaitan dengan kehadiran bersama ibu serta bapanya. Alhamdulillah mereka berikan kerjasama amat baik.

"Wanita itu sudah selesai berikan kenyataannya kepada kita. Insya-Allah kita ada cara tersendiri bagaimana hendak menangani kes seumpama ini," katanya kepada para pemberita pada Rabu (28 Sep). 

Ditanya mengenai tindakan susulan terhadap wanita berkenaan, Encik Mohd Yusop berkata, JAIPk menggunakan pendekatan tersendiri antaranya membabitkan sesi kaunseling.

"Tidak semestinya dalam kita mencegah sesuatu, ia perlu bersifat suatu hukuman, tangkap, apatah lagi mendera kerana ada kaedah lain yang boleh kita buat. Tambahan pula dia dan keluarganya berikan kerjasama sangat baik dengan datang sendiri kepada kita.

"Mudah-mudahan dia sedar kesilapan yang dilakukannya serta insaf. Pada saya jika dia tidak insaf dan rasa bersalah, dia takkan datang pun kepada kita sebaliknya mereka datang dengan sukarela," katanya, seperti dipetik Harian Metro. 

Mengenai kemungkinan kes seumpamanya berulang, beliau berkata ia bergantung kepada betapa serius kesalahan berkenaan selain bilangan kesalahan sama yang dilakukan secara berulang.

"Kadangkala mungkin kesalahan itu dibuat tanpa sedar dan tanpa niat serta tiada maksud tertentu. Dan mungkin ada kesalahan yang memang sengaja dilakukan di samping dilakukan secara berulang.

"Umpamanya jika didapati kesalahan itu berulang dan sengaja dilakukan, maka sudah tentu tindakan tegas akan diambil," katanya lagi.

Kes berkenaan menjadi tular Ogos lalu apabila wanita berkenaan yang berada di Makkah lengkap berpakaian ihram seperti jemaah umrah lelaki dan didakwa menggunakan visa pelancong dan bukan menerusi khidmat agensi bagi mengerjakan umrah.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita