Skip to main content

Dunia

Kes tembakan Setia Alam: Suspek berang setelah ditegur supaya alihkan barang

Anggaran Waktu Membaca:
Kes tembakan Setia Alam: Suspek berang setelah ditegur supaya alihkan barang

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 09 Feb 2025 10:08PM Dikemas Kini : 09 Feb 2025 10:09PM
KUALA LUMPUR: Siasatan awal polis Malaysia mendapati suspek melepaskan tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam, Selangor pada Sabtu malam (8 Feb) dipercayai akibat berang kerana ditegur seorang pekerja pembersihan supaya mengalihkan barang yang diletakkan di kawasan kejadian.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata ketika kejadian itu berlaku, suspek yang merupakan seorang lelaki warga Malaysia dalam lingkungan usia 30an tahun itu juga disyaki berada di bawah pengaruh dadah.

“Bagaimanapun, motif sebenar tiada (dikenal pasti) lagi,” katanya ketika ditemui wartawan selepas mengiringi Menteri Komunikasi Malaysia Fahmi Fadzil hadir ke Majlis Perasmian dan Pelancaran Perayaan 60 Tahun Silat Cekak Pusaka Hanafi di Wisma Radio RTM pada Ahad (9 Feb).

Encik Mohd Shuhaily berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan siasatan kejadian tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam yang berlaku pada Sabtu malam dan menyebabkan seorang pekerja pembersihan cedera.

Menurutnya, siasatan lanjut dan usaha mengesan suspek sedang giat dilakukan polis Selangor dengan bantuan Bukit Aman dan beliau yakin kes berkenaan dapat selesaikan dalam masa terdekat.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan pada Ahad (9 Feb) dilaporkan berkata suspek yang sedang diburu merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan 30an tahun, berkulit cerah dan mempunyai 11 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita