Kes tembakan 2 masjid Christchurch: Rakyat S'pura Rashid Omar lega keadilan sudah dilaksana
Ini kerana keadilan sudah dilaksanakan setelah lebih setahun mereka menunggu dan menjalani kehidupan tanpa insan-insan tersayang yang menjadi mangsa pengganasan itu.
BERITAmediacorp: Sejurus selesai hukuman dijatuhkan ke atas Brenton Tarrant - lelaki yang bertanggungjawab meragut nyawa 51 orang di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand pada bulan Mac 2019 - anggota keluarga para mangsa seperti Encik Rashid Omar berasa lega.
Ini kerana keadilan sudah dilaksanakan setelah lebih setahun mereka menunggu dan menjalani kehidupan tanpa insan-insan tersayang yang menjadi mangsa pengganasan itu.
Encik Rashid ialah bapa kepada Allahyarham Tariq Rashid, yang ditembak di Masjid Al-Noor.

Masjid Al-Noor. (Gambar: Sanka VIDANAGAMA / AFP)
Semasa dihubungi BERITAmediacorp, Encik Rashid baru sahaja selesai mendengar keputusan mahkamah yang menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa pengampunan ke atas warga Australia itu.
Encik Rashid juga mendedahkan kepada BERITAmediacorp bahawa beliau sekeluarga terus menuju ke tanah perkuburan selepas sesi mahkamah itu untuk menziarahi kubur anaknya.

Allahyarham Tariq Rashid. (Gambar: Rashid Omar)
Kunjungan ke pusara Allahyarham Tariq itu demi melahirkan rasa lega bahawa kini keadilan sudah dilaksanakan.
"Saya ingin beritahu Arwah Tariq, Arwah anak saya tentang bagaimana tenang hati saya dan kepuasan hati kami terhadap hukum yang dijatuhkan kepada yang bersalah," kata Encik Rashid.
Bagi Encik Rashid, hukuman itu sebenarnya tidak sepadan dengan kekejaman yang dilakukan.
"Keluarga (saya) sangat berpuas hati dengan keputusan dan hukuman yang dijatuhkan oleh pihak mahkamah, walaupun hukumannya tidak setimpal dengan perbuatan yang dilakukannya, membunuh 51 manusia, orang-orang Islam, termasuk anak saya sendiri," tambah beliau.
Namun demikian Encik Rashid lega dan akur bahawa hukuman yang dikenakan terhadap pembunuh warga Australia itu adalah berat.

Allahyarham Tariq Rashid. (Gambar: Rashid Omar)
Hukuman penjara seumur hidup tanpa pengampunan seperti itu adalah yang pertama kali dijatuhkan ke atas seseorang pesalah di New Zealand.
Dalam ucapannya di mahkamah kelmarin (25 Ogos) Encik Rashid sudahpun berkata secara langsung kepada Tarrant di kandang mahkamah bahawa beliau "tidak akan dapat memaafkan" perbuatannya itu.
Kini meskipun perit, beliau sekeluarga reda dan "semakin hari semakin yakin untuk menjalani kehidupan seharian" seperti biasa.

Allahyarham Tariq Rashid (dua dari kanan) bersama keluarga (Gambar: Rashid Omar)
BERITAmediacorp turut menghubungi seorang lagi rakyat Singapura, Cik Hamimah Tuyan, yang kehilangan suaminya dalam tragedi tersebut. Namun beliau belum bersedia untuk memberikan sebarang komen.
WARGA NEW ZEALAND RAI HUKUMAN SEUMUR HIDUP TANPA PENGAMPUNAN
Suasana di Mahkamah Tinggi Christchurch, di mana Tarrant dibicarakan, sejak dua hari lalu agak suram, dengan sekali sekala dihujani luahan kata-kata marah dan tangisan anggota keluarga mangsa apabila mereka bersemuka dengannya.
Jelas sekali tragedi yang berlaku pada 19 Mac 2019 itu begitu sukar dilupakan.
Namun hari ini, suasana itu bertukar gembira, dengan senyuman dan airmata kesyukuran setelah hakim menjatuhkan hukuman seumur hidup tanpa pengampunan tersebut.

(Gambar: Sanka VIDANAGAMA / AFP)
Ada anggota keluarga mangsa yang dilihat berpelukan dengan warga New Zealand lain yang berhimpun di luar mahkamah tersebut, sambil menitiskan airmata.

Cik Hamimah Tuyan memeluk seorang warga New Zealand di laur mahkamah. (Gambar: Sanka VIDANAGAMA / AFP)
Ada juga yang menunjukkan tanda jempol kepada orang ramai yang kemudian bersorak gembira.
"Hari ini saya sedar bahawa saya membuat keputusan yang terbaik dalam hidup saya untuk datang ke New Zealand, kerana keadilan sudah dilaksanakan ke atas isu ini," kata Imam Masjid Linwood, Abdul Alabi Lateef seperti yang dilaporkan Reuters.

(Gambar: Sanka VIDANAGAMA / AFP)
Salah seorang mangsa yang terselamat, Abdul Aziz Wahabzadah pula berkata: "Terima kasih banyak-banyak. Terika kasih sekali lagi. Tuhan merahmati kita semua daripada orang sekejam lelaki itu dan merkea yang mencuba untuk berfikiran seperti dia. Assalamualaikum warahmatullah."

(Gambar: Sanka VIDANAGAMA / AFP)
Menurut Reuters, dua lagi mangsa yang terselamat, Mustafa Boztas dan Wasseim Sati Ali Daragmih masing-masing mengatakan "Kita lebih baik daripada sikap kebencian" dan "Inilah keluarga" apabila melihat sokongan yang ditunjukkan oleh rakyat New Zealand.
Wassiem Ali menambah, "kami tidak akan sekuat ini tanpa sokongan seperti ini. Mereka memberikan kami kekuatan", apabila ditanya wartawan tentang apa yang bermain di fikiran beliau ketika keluar dari mahkamah.

(Gambar: Sanka VIDANAGAMA / AFP)
Yang pasti, hukuman itu seolah-olah menutup tirai kepada satu episod gelap yang membolehkan mangsa dan anggota keluarga mereka membuka lembaran baru bagi meneruskan kehidupan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.