Kes SRC Najib: Pembelaan tutup kes, mahkamah dengar hujah lisan 12 Mei
Selepas memanggil sebanyak 19 saksi bagi perbicaraan kes mantan Perdana Menteri Najib Razak, membabitkan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta (S$14 juta) dan mengambil masa 33 hari di Mahkamah Tinggi, pihak pembelaan menutup kesnya hari ini (11 Mac).
Mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak tiba di mahkamah pada 11 Nov 2019 (Gambar: Mohd Rasfan/AFP)
KUALA LUMPUR: Selepas memanggil sebanyak 19 saksi bagi perbicaraan kes mantan Perdana Menteri Najib Razak, membabitkan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta (S$14 juta) dan mengambil masa 33 hari di Mahkamah Tinggi, pihak pembelaan menutup kesnya hari ini (11 Mac).
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan empat hari bermula 12 Mei depan untuk mendengar hujah lisan di akhir kes pembelaan sebelum memutuskan sama ada bekas perdana menteri itu akan disabitkan kesalahan atau dibebaskan.
Hakim Mohd Nazlan juga memerintahkan pihak pendakwaan dan pembelaan untuk mengemukakan hujahan bertulis mereka pada atau sebelum 21 April depan.
Peguam Encik Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Encik Najib memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pembelaan menutup kesnya selepas pemeriksaan utama saksi terakhir, Penolong Pesuruhjaya Forensik Perakaunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Regjit Singh.
“Dengan ini perbicaraan pembelaan yang bermula 3 Dis tahun lepas selama 33 hari dan 19 saksi, sampai ke penghujung kes kami,” katanya.
Sebanyak 807 eksibit atau barang kes dikemukakan ke mahkamah dalam perbicaraan selama 91 hari bermula 3 April 2019 yang turut membabitkan nota prosiding kira-kira 6,000 muka surat. Sebelum ini, pihak pendakwaan mengemukakan 57 orang saksi.
Selain Encik Najib, antara saksi utama yang dipanggil sepanjang perbicaraan bela diri itu ialah bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Encik Mohd Irwan Serigar Abdullah; bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Encik Jamil Khir Baharom; bekas Menteri Luar, Encik Anifah Aman; bekas Peguam Negara, Encik Mohamed Apandi Ali; dan dua bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Encik Dzulkifli Ahmad dan Cik Latheefa Koya.
Encik Najib, 67 tahun, yang berkhidmat sebagai Perdana Menteri Malaysia keenam dari April 2009 hingga Mei 2018 merupakan PM pertama negara itu dihadapkan ke mahkamah.
Beliau berdepan dengan tiga tuduhan pecah amanah (CBT) dan satu tuduhan salah guna kuasa berkaitan dana SRC berjumlah RM42 juta dan dituduh melakukan kesalahan itu antara 17 Ogos 2011 dan 10 Feb 2015.
Tiga pertuduhan CBT yang dihadapi Najib adalah:
* Bagi pertuduhan pertama, Encik Najib didakwa sebagai seorang penjawat awam dan ejen iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, Advisor Emeritus SRC International Sdn Bhd (SRC) dan dalam kapasiti itu diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion (S$1.31 bilion), telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang sejumlah RM27 juta (S$8.86 juta).
*Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No 55, Jalan Raja Chulan, di sini antara 24 Dis 2014 dan 29 Dis 2014 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
*Bagi pertuduhan kedua, Encik Najib didakwa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang sejumlah RM5 juta (S$1.64 juta) di tempat dan tarikh sama.
*Pertuduhan ketiga, Encik Najib didakwa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion (S$1.31 bilion), melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang berjumlah RM10 juta (S$3.28 juta) di tempat sama, antara 10 Feb 2015 dan 2 Mac 2015, mengikut seksyen sama.
Bagi pertuduhan salah guna kuasa, Encik Najib didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, telah menggunakan jawatan untuk suapan bagi dirinya berjumlah RM42 juta (S$13.78 juta) apabila dia mengambil bahagian atau terlibat dalam keputusan bagi pihak kerajaan Malaysia untuk memberikan jaminan kerajaan bagi pinjaman-pinjaman berjumlah RM4 bilion (S$1.31 bilion) daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) kepada SRC International Sdn Bhd.
Encik Najib dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Presint 1, Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya, antara 17 Ogos 2011 dan 8 Feb 2012.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 (S$3,300) mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.