Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kes simbah asid Faisal Halim: 'Tiada tindakan lanjut' oleh pendakwa; polis tetap teruskan siasatan

Anggaran Waktu Membaca:
Kes simbah asid Faisal Halim: 'Tiada tindakan lanjut' oleh pendakwa; polis tetap teruskan siasatan

Bintang skuad Harimau Malaya Faisal Halim. (Gambar: Arif Kartono / AFP)

PETALING JAYA, Selangor: Kes simbah asid yang menyebabkan seorang pemain bola sepak Malaysia mengalami kelecuran tahap 4 pada tahun lalu kini diklasifikasikan sebagai "tiada tindakan lanjut" oleh pihak pendakwa. Namun, pihak berkuasa masih akan meneruskan siasatan.

Firma undang-undang yang mewakili pemain bola sepak Faisal Halim mengesahkan pada Khamis (8 Mei) bahawa Pejabat Peguam Negara (AGC) secara rasmi mengklasifikasikan kes itu sebagai NFA dalam surat yang dikirmkan pada 18 Februari.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata status NFA merujuk kepada tangkapan tiga individu serta beberapa petunjuk termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan lakaran wajah yang diedarkan sebelum ini tidak mempunyai kaitan dengan kes terbabit.

“Ini merupakan prosedur operasi standard (SOP) dalam mana-mana siasatan. Sekiranya tangkapan tidak mempunyai kaitan atau membantu siasatan, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) akan mengklasifikasikan kes sebagai NFA sehingga wujud perkembangan atau maklumat baharu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Encik Mohd Shuhaily berkata tiga individu yang ditahan sebelum ini telah dibebaskan selepas siasatan mendapati suspek sebenar menggunakan nombor pendaftaran kenderaan palsu manakala hasil analisis forensik terhadap telefon suspek tidak menunjukkan sebarang bukti penglibatan dalam kejadian berkenaan.

Beliau berkata rakaman CCTV serta lakaran wajah yang diperoleh setakat ini juga tidak dapat mengenal pasti pelaku sebenar.

Encik Mohd Shuhaily berkata sebarang perkembangan berkaitan kes akan dimaklumkan kepada peguam yang mewakili Faisal dari semasa ke semasa, dengan siasatan masih berjalan dan kertas siasatan akan dirujuk semula kepada pihak pendakwaan sekiranya terdapat petunjuk baharu.

Beliau turut menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan kes berkenaan.

Media hari ini (9 Mei) melaporkan peguam yang mewakili Faisal memohon kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) agar kertas siasatan terhadap kes simbah asid membabitkan pemain sayap sensasi Selangor FC dan kebangsaan itu dibuka semula.

Peguam Nik Zarith Nik Moustpha berkata pihaknya sudah menyerahkan surat berkenaan kepada AGC pada 15 April lalu, namun setakat ini tiada maklum balas daripada pihak terbabit. 

Nik Zarith berkata pihaknya menerima surat daripada AGC pada 18 Februari lalu yang memaklumkan bahawa kes itu sudah diklasifikasikan sebagai NFA.

Pada 5 Mei tahun lalu, Faisal, 27 tahun, menjadi mangsa simbahan asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, sekali gus mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa bahagian badan dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama 10 hari.
Sumber : Bernama/NK/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan