Skip to main content

Dunia

Kes serang Balai Polis Ulu Tiram: Bapa, anak dipenjara 30 tahun atas kesalahan berkaitan pengganasan

Anggaran Waktu Membaca:
Kes serang Balai Polis Ulu Tiram: Bapa, anak dipenjara 30 tahun atas kesalahan berkaitan pengganasan

Pegawai polis forensik di luar balai polis Ulu Tiram di Johor, Malaysia di mana dua pegawai polis dibunuh pada 17 Mei 2024. (Gambar fail: CNA/Zamzahuri Abas)

Diterbitkan : 28 Apr 2026 07:28PM Dikemas Kini : 28 Apr 2026 07:30PM
KUALA LUMPUR: Bapa dan abang kepada penyerang Balai Polis Ulu Tiram di Johor dijatuhi hukuman penjara 30 tahun oleh Mahkamah Tinggi pada Ahad (27 Apr) selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan berkaitan ideologi keganasan.

Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun terhadap Radin Imran Radin Mohd Yassin, 64 tahun, bagi setiap tiga tuduhan iaitu menanam fahaman ideologi keganasan, memberi sokongan kepada perbuatan pengganas dan memiliki senjata api untuk aktiviti berkaitan pengganasan.

Dia juga dijatuhi hukuman penjara tiga tahun atas kesalahan memiliki buku berkaitan kumpulan pengganas.

Anak lelakinya pula, Radin Romyullah, 36 tahun, dijatuhi hukuman penjara 30 tahun atas tuduhan memberi sokongan dan dijatuhi hukuman penjara tiga tahun kerana memiliki bahan berkaitan sebuah kumpulan pengganas.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak dari tarikh kedua-dua tertuduh ditangkap pada 17 Mei 2024.

Ini bermakna kedua-duanya akan menjalani hukuman penjara selama 30 tahun.

Dalam serangan di balai polis Ulu Tiram pada 17 Mei 2024, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22 tahun, dan Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24 tahun, terkorban manakala Koperal Mohd Hasif Roslan, 38 tahun, cedera ditembak selepas diserang Radin Luqman, 21 tahun, yang akhirnya ditembak mati dalam insiden tersebut.

Mahkamah juga menjatuhkan hukuman penjara empat tahun terhadap isteri Radin Imran iaitu Rosna Jantan, 61 tahun, selepas mengaku bersalah atas tuduhan gagal memberi maklumat berkaitan ideologi keganasan dan memerintahkan wanita itu menjalani hukuman penjara bermula tarikh sama (17 Mei).

Sementara itu, mahkamah melepaskan dan membebaskan dua anak perempuan Radin Imran, iaitu Farhah Sobrina, 25 tahun, serta Mariah, 21 tahun, daripada tuduhan dengan sengaja enggan memberi maklumat berkaitan ideologi keganasan, selepas Timbalan Pendakwa Raya Norinna Bahadun memaklumkan pihaknya menarik balik tuduhan terhadap mereka.

Sebelum menjatuhkan hukuman ke atas ketiga-tiga tertuduh, Hakim Nurulhuda Nur’aini berkata kesalahan-kesalahan dilakukan tertuduh adalah amat serius hingga mengakibatkan kejadian bunuh di Balai Polis Ulu Tiram.

"Walaupun pengakuan salah tertuduh-tertuduh boleh dilihat menjimatkan masa tetapi pada masa sama ia bukan suatu bentuk diskaun untuk kesalahan-kesalahan yang serius," katanya.

Hakim itu berkata mahkamah juga mengambil kira bahawa dalam hujahan mitigasi pihak pembela dan pendakwa, tiada sebarang pembelaan wajar atau munasabah dikemukakan yang mewajarkan kenapa perbuatan salah itu dilakukan. 
Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita